top of page
  • Wartawan Nabalu News

Rumah terbuka, kunjung mengunjungi eratkan perpaduan: Ewon

Ewon bersalaman dengan orang ramai yang hadir pada majlis itu.

29 April 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


RANAU: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, amalan rumah terbuka dan kunjung mengunjungi semasa musim perayaan antara kunci utama mengeratkan perpaduan masyarakat pelbagai kaum dan agama di negara ini.


Beliau yang juga Ahli Parlimen Penampang dan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian berkata, selain itu budaya mengadakan rumah terbuka juga membolehkan setiap kaum memahami budaya masyarakat lain.

“Amalan rumah terbuka adalah satu kemestian yang diamalkan oleh masyarakat kita sejak dahulu lagi setiap kali musim perayaan seperti Hari Raya, Krismas, Tahun Baharu Cina dan Kaamatan.


“Oleh itu saya berharap budaya rumah terbuka dan kunjung mengunjungi ini diteruskan bagi menyatupadu dan mengeratkan lagi hubungan persaudaraan dan perpaduan yang sedia terjalin dalam masyarakat kita,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Rumah Terbuka Hari Raya Aidilfitri UPKO anjuran UPKO Bahagian Ranau, di Mini Dewan Kg.Lasing, di sini, hari ini.


Ewon (tengah) menyampaikan sumbangan kepada wakil SAR Al-Falah Kg.Pahu Himbaan Ranau, turur kelihatan Georgina (kanan) dan Aduka (kiri).

Ewon yang juga Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) mengalu-alukan orang ramai supaya menghadiri Karnival Usahawan dan Koperasi sempena sambutan Kaamatan UPKO di Dewan Tun Hamdan Tamparuli, pada 6 dan 7 Mei ini.


Pada majlis itu, Ewon menyampaikan sumbangan sejumlah RM9,000 kepada tiga Rumah Anak Yatim dan Pelajar Tahfiz iaitu Rumah Putera Harapan Ranau (RPH), Rumah Anak Yatim dan Asnaf Kampung Silad Ranau dan SAR Al-Falah Kg.Pahu Himbaan Ranau.

Ewon menyampaikan duit raya kepada warga emas.

Beliau turut memberikan sumbangan duit raya kepada warga emas, anak yatim dan asnaf daerah Ranau.


Turut hadir Ketua Bahagian UPKO Ranau Georgina George, Pengerusi penganjur Aduka Jasnin dan para pemimpin UPKO dan para pemimpin setempat.


コメント


bottom of page