Rumah Terbuka UPKO perkukuh perpaduan rakyat pelbagai kaum dan agama: Ewon
- nabalunews
- 6 days ago
- 2 min read

4 Januari 2026
TUARAN: Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO), Datuk Ewon Benedick berkata tradisi penganjuran Rumah Terbuka bagi setiap perayaan keagamaan dan kebudayaan menjadi platform penting dalam memperkukuhkan perpaduan rakyat berbilang kaum dan agama di Sabah.
Beliau yang juga Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah berkata, acara seumpama ini mencerminkan tradisi kepimpinan UPKO yang sentiasa menekankan kepentingan mengeratkan hubungan dengan rakyat serta menghargai kebersamaan masyarakat.
“UPKO secara konsisten menganjurkan rumah terbuka sempena pelbagai perayaan termasuk Krismas, Hari Raya Aidilfitri, Tahun Baharu Cina dan Pesta Kaamatan.

“Bagi sambutan Krismas tahun ini, UPKO mengadakan Rumah Terbuka di Tuaran yang dihoskan oleh Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau selaku Presiden Kehormat UPKO dan wakil rakyat kawasan Tuaran dan Tamparuli,” katanya,
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Majlis Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baharu 2026 UPKO, di Dewan Seri Sulaman, di sini, hari ini.
Ewon berkata, rumah terbuka anjuran UPKO diadakan secara bergilir-gilir di bahagian-bahagian seluruh Sabah bagi memastikan rakyat pelbagai latar belakang berpeluang berkumpul dan berinteraksi dalam suasana harmoni.

“Melalui sambutan seperti inilah kita dapat menyampaikan mesej perpaduan, keharmonian serta keperluan untuk bekerjasama dan bersatu padu dalam usaha memajukan negara, khususnya Sabah,” katanya.
Beliau berkata, kehadiran pemimpin pelbagai parti politik bersama pimpinan gereja di daerah ini juga menjadi lambang perpaduan dan keharmonian masyarakat.
“UPKO amat menghargai sokongan ini dan saya bersama parti mendoakan agar perpaduan rakyat Sabah dapat terus diperkasakan melalui penganjuran rumah terbuka seperti ini,” katanya.
Beliau turut memaklumkan bahawa pada keesokan harinya, beliau akan menghoskan Rumah Terbuka Krismas dan Tahun Baharu bagi Kadamaian di Kadmaian Square Taginambur Kota Belud sebagai tanda penghargaan kebersamaan dan sokongan rakyat Kadamaian selepas pilihan raya.
Kelmarin Ewon bersama Datuk Donald Peter Mojuntin turut menghoskan majlis Rumah Terbuka sebagai Ahli Parlimen Penampang dan Ahli Dewan Undangan Negeri Moyog.


















Comments