top of page
  • nabalunews

Rundingan bawa pulang tujuh rakyat Malaysia dari Filipina, sedang berjalan

4 September 2024


TANAH MERAH : Rundingan untuk membawa pulang tujuh rakyat Malaysia yang disyaki memasuki perairan Filipina, Ahad lalu sedang berjalan dan kerajaan berharap ada hasil positif dalam tempoh masa terdekat.


Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata maklumat mengenai insiden itu sudah diterima daripada Komander Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM), Datuk Victor Sanjos.


"Kita juga sudah mengenal pasti agensi pelancongan yang membawa mereka sehingga melepasi sempadan selain akan menghubungi Jabatan Pelabuhan Dan Dermaga Sabah," katanya.


Saifuddin berkata demikian selepas Majlis Perasmian Baitul Mahabbah Tanah Merah, Jabatan Imigresen Malaysia pada Rabu.


Sebelum ini media melaporkan pihak berkuasa Filipina menahan 15 individu termasuk tujuh rakyat Malaysia dan lapan warga China kerana disyaki memasuki perairan negara itu secara haram.


Memetik laporan Philippines News Agency (PNA), Pesuruhjaya Biro Imigresen (BI) Filipina, Norman Tansingco berkata, mereka ditahan Pihak Berkuasa Maritim, Tentera Laut Filipina dan Tentera Darat Filipina di kawasan perairan Sitangkai, dekat Tawi-Tawi di Wilayah Selatan negara berkenaan.


Norman dilaporkan berkata, mereka yang tidak memiliki dokumen sah itu didapati memasuki wilayah Filipina dengan menaiki dua bot laju.


Dalam perkembangan lain, Saifuddin memberitahu, trend jenayah rentas sempadan terutama pemerdagangan manusia membabitkan rakyat di negara ini semakin meningkat.


Katanya rakyat Malaysia turut terkesan dan memerlukan banyak kerjasama dengan negara luar.


"Pemerdagangan orang ridak boleh lagi ditumpukan hanya di meja mesyuarat tetapi diangkat sehingga ke peringkat pelaksanaan," katanya.


Menurut beliau, trend peningkatan kebanyakannha membabitkan negara jiran termasuk Thailand dan Myanmar.

Comments


bottom of page