top of page
  • Farid Johan

RUU larangan bertukar parti dibentang Julai ini



8 Jun 2022

Oleh Farid Johan


KUALA LUMPUR: Mesyuarat Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang Perlembagaan (Pindaan) (No.3) 2022 dan Mengenai Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti Bilangan 6 Tahun 2022 telah bersetuju dan memuktamadkan draf Rang Undang-Undang (RUU) Peruntukan Larangan Ahli Dewan Rakyat Bertukar Parti (Pindaan) (No.3) 2022 untuk dibentangkan serta dibahaskan dalam Dewan Rakyat.


Dalam hal ini, lima persoalan dasar telah dibangkitkan Jemaah Menteri semasa mesyuarat pada 1 Jun 2022 dan telah diulas dan dijawab oleh Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen dalam mesyuarat semalam (7 Jun 2022).


Maklum balas Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen berkaitan perkara ini akan dibawa semula sebagai suatu Nota Jemaah Menteri dalam mesyuarat Jemaah Menteri akan datang.


Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Dato Sri Dr. Haji Wan Junaidi Tuanku Jaafar memaklumkan bahawa mesyuarat terakhir akan diadakan dalam masa terdekat untuk mengesahkan Penyata Jawatankuasa Pilihan Khas.


"Jawatankuasa Pilihan Khas ini juga secara sebulat suara bersetuju meminta dan mencadangkan kepada Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selaras dengan Peraturan Mesyuarat 11(3), Peraturan-peraturan Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat untuk diadakan Mesyuarat Khas Parlimen pada minggu pertama Julai 2022.


"Secara umumnya, Jawatankuasa Pilihan Khas ini telah berjaya melaksanakan terma rujukan sebagaimana usul yang diluluskan pada 11 April 2022," katanya dalam kenyataan media hari ini.


Wan Junaidi yang juga pengerusi jawatankuasa itu berkata, pencapaian ini merupakan hasil komitmen bersama oleh semua ahli jawatankuasa dengan sokongan padu Parlimen Malaysia, Bahagian Hal Ehwal Undang-undang, JPM, Jabatan Perdana Menteri dan Jabatan Peguam Negara Malaysia.


Comments


bottom of page