Sabah bakal buat tuntutan berfasa jika rundingan pemberian khas tidak selesai
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Sabah bakal buat tuntutan berfasa jika rundingan pemberian khas tidak selesai

22 April 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Menteri Kewangan Datuk Masidi Manjun berkata, kerajaan negeri akan membuat tuntutan berfasa pemberian khas jika rundingan yang sedang berlangsung tidak mencapai kata sepakat dalam tempoh satu tahun.


Beliau berkata, tempoh rundingan telah bermula sejak Julai tahun lalu dan berakhir pada 18 Julai ini.


“Setelah selesai bulan Julai ini kita telah bersetuju dan ini telah diumumkan oleh Timbalan Perdana Menteri II bahawa kita diberi satu tahun daripada Julai tahun lepas  untuk berunding dan kita ambil itu sebagai satu janji.


“Sekiranya selepas bulan Julai, tidak ada juga persetujuan yang dicapai diantara Kerajaan Negeri dan Kerajaan Persekutuan maka terserah kepada kita untuk mengambil pilihan untuk melantik penaksir bebas.


“Kita juga telah menyatakan bahawa selepas Julai kita akan membuat tuntutan secara berfasa, tanpa data yang lengkap daripada kerajaan pusat kita akan membuat andaian sendiri, pertama berdasarkan pengumuman  data yang telah diumumkan oleh agensi kerajaan persekutusn sendiri


‘Kedua, kita akan membuat pengiraan kita sendiri, berapa jumlah yang sepatutnya kita tuntut,” katanya ketika menjawab soalan tambahan daripada Datuk Bung Mokthar pada persidangan dewan undangan negeri, di sini, hari ini.


Masidi berkata, isu itu dapat diselesaikan sekiranya kedua-dua pihak iaitu kerajaan negeri dan persekutuan mencapai kata sepakat.


Beliau berkata, kerajaan negeri memerlukan data dan maklumat tertentu untuk membuat tuntutan pemberian khas.


“Sudah lapan kali kita minta data untuk membolehkan kita menentukan jumlah yang patut kita tuntut daripada kerajaan persekutuan, sampai sekarang tidak ada jawapan yang munasabah daripada kerajaan pusat,” katanya.


Katanya lagi, bayaran yang kerajaan negeri terima ketika ini adalah bayaran interim iaitu bayaran sementara kedua-dua pihak berunding dan bukannya tuntutan tuntas atau bayaran terakhir.


Masidi juga berharap agar Ahli-Ahli Parlimen daripada Sabah menyuarakan tuntutan-tuntutan berkenaan di Parlimen.

bottom of page