Sabah batal sambutan Hari Malaysia esok, tumpu tangani bencana alam
- nabalunews
- Sep 15
- 1 min read

15 September 2025
KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri membatalkan sambutan Hari Malaysia yang dijadualkan berlangsung di Padang Merdeka esok malam berikutan krisis bencana besar yang berlaku akibat hujan berterusan yang menjejaskan sekurang-kurangnya tujuh daerah di Sabah.
Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, perkara itu telah memaklumkan perkara tersebut kepada Yang di-Pertua Negeri, Tun Musa Aman, hari ini.
“Keutamaan segera kerajaan negeri adalah untuk mengurus krisis, menyelaras usaha pemulihan dan memastikan operasi menyelamat dilaksanakan dengan pantas bagi komuniti yang terjejas.
“Dalam waktu sukar ini, kesejahteraan, kebajikan dan keselamatan rakyat adalah paling utama. Segala fokus dan sumber mesti ditumpukan kepada mereka yang terkesan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Hajiji berkata, Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) turut diarah supaya sentiasa berada dalam keadaan berjaga-jaga sepenuhnya dan bersiap sedia untuk tindakan segera memandangkan keadaan di lapangan sentiasa berubah susulan cuaca buruk berpanjangan.
“JPBN yang dipengerusikan Setiausaha Kerajaan Negeri, Datuk Seri Sr Safar Untong, kini mengadakan mesyuarat untuk memantau perkembangan dan menyelaras tindakan segera di daerah-daerah terlibat,” jelasnya.
Ketua Menteri turut menyeru orang ramai supaya terus berwaspada, mematuhi nasihat keselamatan, serta memberi kerjasama penuh kepada pasukan penyelamat ketika usaha sedang dipertingkatkan di seluruh negeri.


















Comments