Sabah benarkan rumah ibadat bukan Islam dibuka mulai 20 SeptSabah benarkan rumah ibadat bukan Islam dibuka mulai 20 Sept
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Sabah benarkan rumah ibadat bukan Islam dibuka mulai 20 Sept



19 September 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah membenarkan rumah ibadat bukan Islam dibuka bermula esok iaitu dari jam 6 pagi hingga 8 malam, dengan bilangan penganut sebanyak 30 peratus daripada kapasiti ruang ibadat. Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Seri Masidi Manjun berkata kebenaran tersebut adalah berdasarkan SOP terbaharu dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN) Fasa 2 bagi negeri Sabah yang bertarikh 19 September.


Bagaimanapun, pembukaan semula rumah ibadat tersebut adalah tertakluk kepada pematuhan prosedur operasi standard (sop) yang ketat.


“Antara SOP yang perlu dipatuhi ialah, pihak pengurusan rumah ibadat perlu menyediakan kaunter pemeriksaan suhu di pintu masuk rumah ibadat serta kehadiran penganut juga perlu direkod menggunakan aplikasi MySejahtera atau SabahTrace.


“Selain itu, para penganut juga diwajibkan untuk sentiasa memakai pelitup muka, melakukan penjarakan fizikal sekurang-kurangnya satu meter dan dinasihatkan kerap mencuci tangan atau menggunakan 'hand sanitizer.


“Sebarang aktiviti seperti berkumpul di luar rumah ibadat, bersalaman atau bersentuhan, dan berkongsi peralatan sembahyang adalah tidak dibenarkan sama sekali,” katanya dalam kenyataan media, hari ini.


Tambah Masidi, hanya ahli jawatankuasa pengurusan dan penganut yang telah lengkap divaksin sahaja dibenarkan untuk memasuki ruang rumah ibadat. Kanak-kanak yang berumur 12 tahun ke bawah adalah tidak digalakkan hadir.


“Individu yang mencatat suhu badan 37.5 darjah Celcius adalah tidak dibenarkan masuk ke rumah ibadat.


“Aktiviti lain seperti kelas keagamaan dan kebudayan di dalam atau luar rumah ibadat juga adalah tidak dibenarkan,” katanya.


Menurut beliau lagi, upacara pemberkatan kahwin di rumah ibadat bukan islam juga dibenarkan bermula esok dengan syarat tempoh upacara tidak boleh melebihi 2 jam dan kehadiran penganut juga adalah 30 peratus daripada kapasiti rumah ibadat.


“Sebarang pemberian makanan juga adalah secara berbungkus dan mmakan di dalam atau luar banungan rumah ibadat bukan Islam adalah tidak dibenarkan,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page