top of page

SABAH BERI BANTUAN KHAS RM600 UNTUK PENJAWAT AWAM NEGERI

  • nabalunews
  • Dec 19, 2020
  • 1 min read

18 DIS 2020


KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah bersetuju memberi bantuan kewangan khas RM600 kepada semua penjawat awam negeri melibatkan peruntukan RM8.7 juta, kata Ketua Menteri Datuk Hajiji Noor.

Hajiji berkata bantuan kewangan khas itu akan dibayar pada Januari tahun depan dan beliau berharap insentif berkenaan akan memberi suntikan semangat kepada para penjawat awam negeri untuk berusaha lebih gigih demi meningkatkan mutu perkhidmatan mereka kepada rakyat.

“Pada masa sama, adalah diharapkan perkhidmatan awam dapat terus berfungsi dengan berkesan melalui strategi dan pendekatan normal baharu yang bersesuaian serta mematuhi tuntutan norma baharu dalam tempoh penularan pandemik COVID-19,” katanya ketika membentangkan Belanjawan Sabah 2021 pada persidangan Dewan Undangan Negeri Sabah di sini.

Mengulas lanjut, Hajiji berkata, kerajaan negeri akan memberi fokus kepada usaha pendigitalan perkhidmatan awam Sabah pada masa akan datang sejajar dengan aspirasi perkhidmatan awam negeri untuk menyediakan keperluan sumber manusia di negeri itu.

Rasionalisasi agensi kerajaan negeri juga akan terus dilaksanakan bagi memastikan keberhasilan dan keberkesanan sistem penyampaian perkhidmatan, katanya.

Beliau berkata sehingga November 2020, seramai 762 anggota perkhidmatan awam negeri telah menerima manfaat peningkatan kerjaya, iaitu 5.26 peratus daripada 14,492 kapasiti anggota perkhidmatan awam negeri di kementerian, jabatan dan pejabat daerah.

“Program peningkatan kerjaya anggota perkhidmatan awam ini akan diteruskan pada tahun depan. Langkah ini adalah sebahagian daripada usaha untuk memberikan pengiktirafan kepada sumbangan dan peranan penting para penjawat awam di semua peringkat,” katanya. - Bernama

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page