top of page

Sabah Berpotensi Jadi Pelabuhan Angkasa

  • nabalunews
  • 6 hours ago
  • 2 min read

1 Februari 2026


KOTA KINABALU: Penyedia perkhidmatan pelancaran angkasa dari Rusia, Glavkosmos, kini sedang mengadakan perbincangan dengan syarikat pelaburan kerajaan negeri, Qhazanah Sabah, berhubung cadangan pembangunan sebuah tapak pelancaran roket atau pelabuhan angkasa (spaceport) di Sabah.


Pengerusi Qhazanah Sabah, Datuk Seri Anifah Aman, berkata kajian awal yang dijalankan oleh Glavkosmos merumuskan bahawa Sabah merupakan lokasi paling sesuai di Asia Tenggara untuk pelancaran roket ke angkasa.


Katanya, kedudukan geografi Sabah membolehkan pelancaran ke orbit bumi rendah (Low Earth Orbit, LEO) dan orbit suria segerak (Sun-Synchronous Orbit, SSO) dilaksanakan dengan selamat, tanpa risiko kepada kawasan daratan, kerana sisa roket dijangka jatuh ke perairan laut di bahagian utara dan timur negeri itu.


“Pembinaan pelabuhan angkasa ini dijangka membuka peluang pekerjaan berpendapatan tinggi kepada lebih 2,000 orang,” katanya menerusi satu hantaran di Facebook.


Semalam, Anifah menerima kunjungan delegasi Glavkosmos yang diketuai Timbalan Pengarah Urusannya, Vitaly Safonov, dalam satu pertemuan di Kota Kinabalu.


Cadangan daripada syarikat Rusia itu dibuat susulan pengumuman kerajaan Malaysia tahun lalu untuk membangunkan pad pelancaran roket sendiri, dengan tiga lokasi disenarai pendek iaitu Pahang, Sarawak dan Sabah.


Kerajaan Pahang sebelum ini, pada April tahun lalu, memaklumkan bahawa satu kajian kebolehlaksanaan sedang dijalankan bagi cadangan projek pelabuhan angkasa di Nenasi, Pekan.


Sementara itu, Ketua Pengarah Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), Azlikamil Napiah, pada September lalu berkata Malaysia berpotensi menjadi negara pertama di Asia Tenggara yang memiliki pad pelancaran roket sendiri menjelang 2029.


Beliau turut memaklumkan bahawa tiga pihak telah menyatakan minat untuk melaksanakan projek berkenaan, yang merangkumi pembinaan satelit pemerhatian bumi milik Malaysia, pembangunan bandar angkasa serta penawaran perkhidmatan pelancaran roket secara komersial.


Glavkosmos merupakan anak syarikat kepada agensi angkasa Rusia, Roscosmos, dan bertindak sebagai pengendali pelancaran komersial roket Soyuz-2 dari pelabuhan angkasa Vostochny, Baikonur dan Plesetsk. Syarikat itu juga diberi kebenaran untuk mengendalikan penerbangan pelancongan angkasa.


Tahun lalu, Glavkosmos mencatat rekod dengan melaksanakan 51 pelancaran satelit Rusia secara serentak ke orbit.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page