SABAH CATAT 248 KES BAHARU, DUA KEMATIAN HARI INI

7 DIS 2020
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Jumlah kes positif baharu covid-19 di Sabah hari ini sebanyak 248 kes, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 30,786 kes dan dua kes kematian dicatatkan masing-masing di Kota Kinabalu dan Semporna.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, daripada 248 kes positif covid-19 hari ini, sebanyak 126 kes adalah berpunca dari saringan kontak rapat di 14 daerah, 61 kes daripada saringan kluster sedia ada, saringan bergejala 36 kes, saringan komuniti (tujuh kes) dan 18 kes adalah dari lain-lain kategori.
“Daerah yang mencatatkan kes tertinggi hari ini ialah Sandakan sebanyak 59 kes, Kota Kinabalu (50 kes), Penampang (43 kes), Lahad Datu (24 kes), Tuaran (21 kes), Tawau (13 kes), Putatan (10 kes), Keningau (tujuh kes), Semporna, Beluran dan Pitas masing-masing empat kes, Papar (tiga kes), Tambunan (dua kes), Kudat, Kota Belud, Kalabakan dan Kinabatangan masing-masing satu kes.
“Daerah lain tidak mencatatkan kes baharu hari ini. Sipitang dan Nabawan juga kekal sebagai zon hijau covid-19,” katanya pada sidang akhbar, di sini, hari ini.
Masidi berkata, seramai 299 pesakit covid-19 telah sembuh dari hospital menjadikan jumlah kumulatif sembuh 27,801 orang.
“sejumlah 1,990 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 627 orang di hospital dan 1,363 orang di pkrc. Bilangan pesakit covid-19 dalam icu ialah 70 orang dan 27 orang pula memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.
Comments