Sabah catat penurunan kadar pengangguran pada 2022

25 Mei 2023
Oleh Wartawan Nabalu News
KOTA KINABALU: Sabah telah mencatatkan penurunan kadar pengangguran daripada 8.1 peratus kepada 7.7 peratus pada 2022, menurut statistik Jabatan Perangkaan Malaysia.
Penurunan ini disumbang oleh pelbagai inisiatif yang dilaksanakan oleh Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (KSTI) dan agensi-agensi lain.
Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Datuk Dr. Mohd Arifin Mohd Arif berkata, pihaknya akan berbincang dengan Jabatan Statistik Malaysia untuk memperhalusi data pengangguran Sabah dengan mengambil kira anak-anak Sabah yang bekerja di luar negeri.
“Antara inisiatif yang dirancang oleh pihak kementerian tahun ini ialah pelaksanaan 91 kursus kemahiran melalui Jabatan Pembangunan Sumber Manusia (JPSM). Kursus ini akan memanfaatkan seramai 1,774 orang di 73 kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN),” katanya.
Beliau juga menyatakan bahawa KSTI telah menjayakan program ‘Upskilling for Deeptech and Futureskills’ yang melatih 533 belia pada 2022 dan semua peserta program berjaya mendapat pekerjaan.
Selain itu, beliau berkata, program-program kebolehpasaran pekerjaan seperti Karnival Kerjaya yang dianjurkan bersama oleh JPSM dan Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) juga berjaya menempatkan seramai 36,000 belia dalam pelbagai sektor pekerjaan pada 2021 hingga 2023.
“Institut Latihan Teknik dan Perdagangan (ILTP) juga ada menyediakan latihan bagi menyokong usaha-usaha berkenaan,” tambahnya.
Comments