Sabah, Sarawak perlu 28 kerusi tambahan di Parlimen: Ahli Parlimen Kota Samarahan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Sabah, Sarawak perlu 28 kerusi tambahan di Parlimen: Ahli Parlimen Kota Samarahan



7 Mac 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Sabah dan Sarawak memerlukan sekurang-kurangnya 28 kerusi tambahan di Parlimen, kata Ahli Parlimen Kota Samarahan Datuk Rubiah Wang.


Beliau berkata, perkara ini penting dalam usaha untuk melindungi hak-hak keistimewaan dan pengiktirafan Sabah dan Sarawak sebagai rakan kongsi dalam pembentukan Malaysia.


“Saya bersetuju dengan saranan Ahli Parlimen Hulu Rajang (Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong) yang mencadangkan supaya bilangan kerusi Parlimen ditambah bagi Sabah dan Sarawak.


“Berikutan dengan ini, Sarawak dan Sabah memerlukan sekurang-kurangnya 28 kerusi tambahan bagi membolehkan kuota satu pertiga dewan ini diberikan kepada wilayah berkenaan,” katanya pada sesi perbahasan, hari ini.


Rubiah berkata, ini penting dalam usaha melindungi hak-hak keistimewaan dan pengiktirafan kedua-dua negeri itu sebagai rakan kongsi dalam pembentukan Malaysia.


“Satu usaha digesa untuk melakukan persempadanan semula kawasan pilihan raya Parlimen khasnya Sabah dan Sarawak bagi menambah bilangan kerusi tersebut.


"Tambahan pula satu-satu kawasan Parlimen di Sabah dan Sarawak amat luas.


“Dengan pindaan yang dilakukan dalam fasal (2) Perkara 1 Perlembagaan Persekutuan pada tahun lepas maka wajarlah kedudukan Sabah dan Sarawak dilihat sebagai Wilayah,” katanya.


Beliau berkata, ia juga perlu dinilai meliputi semua aspek termasuk pemberian peruntukan tahunan untuk pembangunan dan peruntukan undang-undang khas untuk Sabah dan Sarawak.


Sebelum ini seorang Ahli Parlimen dari Sarawak Datuk Wilson Ugak Anak Kumbong semasa perbahasan Titah Diraja di Dewan Rakyat baru-baru ini menyatakan bahawa Sabah dan Sarawak wajar diberikan satu pertiga daripada 222 kerusi Parlimen agar agihan kuasa dalam Parlimen tidak hanya bergantung kepada satu pihak (Semenanjung) sahaja.


Beliau dipetik sebagai berkata, komposisi kerusi Parlimen di Sabah dan Sarawak setakat ini hanya meliputi satu daripada empat kerusi, daripada jumlah keseluruhan kerusi di Dewan Rakyat.


"Setakat ini 56 kerusi sahaja bagi kedua-dua negeri ini di dalam Parlimen iaitu Sabah 25 kerusi dan Sarawak (31). Angka ini jauh berbeza dengan semangat yang diwujudkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) yang menekankan konsep co-partner," katanya.


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page