top of page
nabalunews

Sabah diingatkan tidak leka walaupun bebas penyakit rabies sejak 1881

11 Oktober 2024


KOTA KINABALU: Sabah berjaya mengekalkan status bebas penyakit Rabies sejak tahun 1881, namun negeri ini tidak boleh berasa terlalu selesa kerana bersempadan dengan negeri dan negara yang masih aktif dengan penyakit itu, seperti Sarawak dan Indonesia.


Menteri Pertanian, Perikanan, dan Industri Makanan, Datuk Seri Panglima Dr Jeffrey G. Kitingan mengingatkan pihak bertanggungjawab untuk mengambil iktibar daripada Sarawak, yang telah mengalami wabak Rabies sejak 2017 dan mencatatkan 81 kes gigitan serta 74 kes kematian.


DVS Sabah memainkan peranan utama dalam memastikan Sabah bebas daripada penyakit zoonotik seperti Rabies.


Beliau turut menekankan bahawa pengimportan anjing dan kucing, khususnya dari kawasan yang aktif dengan Rabies, perlu mematuhi piawaian antarabangsa serta mengikuti program vaksinasi bagi Haiwan Pembawa Rabies (HPR).


Jeffrey berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penutupan Latihan Simulasi Penyakit Rabies Negeri Sabah Tahun 2024 yang diadakan di Dewan Wisma Pertanian, di sini hari ini.


Latihan simulasi ini, yang dianjurkan oleh Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah, melibatkan beberapa agensi seperti Jabatan Kesihatan Negeri Sabah, Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK), Polis Diraja Malaysia (PDRM), serta Jabatan Bomba dan Penyelamat, bertujuan meningkatkan komunikasi, kompetensi, dan kesiapsiagaan dalam menangani sebarang kemungkinan wabak Rabies.


Pada hari pertama program, satu forum mengenai kawalan dan pencegahan Rabies telah diadakan bersama pelbagai agensi dan NGO, di mana panel dari DVS Sarawak, JKNS, DBKK, dan DVS Sabah berkongsi pandangan mengenai peranan masing-masing dalam menangani wabak itu.


Jefrey turut berharap agar Sabah dapat mengekalkan status bebas Rabies selama-lamanya dan menegaskan pentingnya kerjasama pintar di bawah konsep ‘One Health’ untuk mencapai hasil terbaik.

Comments


bottom of page