Sabah Electricity pantau rapi bekalan elektrik di kawasan terjejas banjir

26 Februari 2026
KOTA KINABALU: Sabah Electricity akan terus memantau rapi bekalan elektrik di kawasan yang terjejas banjir, khususnya di Tenom, Beaufort dan Sipitang, bagi memastikan kestabilan sistem kekal terjamin.
Syarikat utiliti itu dalam satu kenyataan memaklumkan, pasukan operasi dan teknikalnya telah meningkatkan tahap kesiapsiagaan untuk menilai risiko di lokasi terjejas serta melaksanakan langkah proaktif bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.
“Antara langkah yang diambil termasuk melaksanakan penutupan bekalan elektrik secara terkawal di kawasan berisiko tinggi sekiranya keadaan memerlukan. Keutamaan kami adalah keselamatan orang awam dan kakitangan yang bertugas.
“Sehubungan itu, orang ramai dinasihatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak menghampiri pepasangan elektrik yang terjejas akibat banjir,” menurut kenyataan itu.
Dalam pada itu, Sabah Electricity turut meminta orang ramai supaya segera melaporkan sebarang insiden berkaitan bekalan elektrik melalui talian 15444 bagi membolehkan tindakan segera diambil.
Syarikat itu memaklumkan, pihaknya turut bekerjasama rapat dengan pihak berkuasa dan agensi berkaitan dalam menyokong operasi bantuan, selain memastikan kerja-kerja pemulihan bekalan dapat dilaksanakan secepat mungkin apabila keadaan banjir beransur pulih.
Sabah Electricity menegaskan komitmennya untuk mengambil langkah sewajarnya bagi meminimumkan gangguan bekalan kepada pengguna susulan bencana berkenaan.
Jumlah mangsa banjir di enam daerah di Sabah dilaporkan meningkat kepada 2,288 orang setakat 8 pagi ini berbanding 1,564 orang yang direkodkan malam tadi.
Menurut Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah, Beaufort mencatatkan jumlah mangsa tertinggi dengan 945 orang, diikuti Pitas (528), Sipitang (421), Membakut (315) dan Sook (79), manakala Tenom masih dalam proses pendaftaran.















Comments