Sabah FC Tak Gentar Tanpa Cifu, Gabi Hadapi Kelantan
- nabalunews
- Oct 16
- 1 min read

16 Oktober 2025
KOTA KINABALU: Kehilangan beberapa tonggak utama termasuk Cifu dan Gabi tidak menggentarkan Sabah FC untuk terus mengaum menjelang aksi suku akhir Piala FA Pertama menentang Kelantan TRW FC di Kota Bharu malam esok.
Ketua jurulatih, Jean-Paul de Marigny, menegaskan fokus pasukan kini terarah kepada memperkukuh prestasi berpasukan dan memastikan setiap pemain memahami peranan masing-masing di atas padang.
“Minggu ini merupakan kali pertama kami dapat menjalani latihan penuh sebagai satu skuad. Ia peluang terbaik untuk kami sempurnakan struktur permainan dan kematangan taktikal,” katanya ketika ditemui selepas sesi latihan.
Walaupun kehilangan Cifu, Gabi dan Darren yang masih dalam fasa pemulihan kecederaan, Jean-Paul yakin barisan pemain yang ada mampu menggalas cabaran dengan penuh tanggungjawab.
“Kami tahu kekuatan lawan, tetapi tumpuan kami tetap kepada permainan sendiri. Kelantan ada pemain yang boleh beri ancaman, namun kami akan hadapi mereka secara berpasukan,” jelasnya.
Jurulatih kelahiran Australia itu turut menekankan bahawa misi utama Sabah FC adalah untuk mengekalkan konsistensi prestasi berbanding memberi tekanan terhadap keputusan semata-mata.
“Kita mahu pemain kekal berdisiplin ikut perancangan. Kalau semua ikut sistem, keputusan positif akan datang.” katanya.
Dalam masa sama, Jean-Paul turut mendedahkan bahawa pasukannya kini sedang membentuk identiti permainan tersendiri, yang dilihat bakal menjadi kekuatan utama dalam tempoh jangka panjang.
“Identiti ini ambil masa, tapi kalau pemain terus kekal dengan corak yang diterapkan, Sabah akan jadi lebih mantap,” tambahnya.
Sabah FC dijadualkan turun sebagai pelawat di Stadium Sultan Muhammad IV malma esok sebelum melayani kunjungan Kelantan TRW FC dalam aksi suku akhir Piala FA kedua di Stadium Likas pada 29 Oktober nanti.


















Comments