top of page

“Sabah First” kekal teras dasar Kerajaan Negeri

  • nabalunews
  • Feb 7
  • 2 min read

7 Februari 2026


KOTA KINABALU: Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata prinsip “Sabah First” terus menjadi teras kepada setiap dasar dan keputusan Kerajaan Negeri bagi memastikan kepentingan rakyat Sabah sentiasa diutamakan.


Katanya, ia juga untuk memastikan hasil negeri diurus dengan bertanggungjawab, serta peluang ekonomi diperluas secara adil kepada seluruh masyarakat.


“Oleh itu menjadi harapan saya untuk kita semua rakyat Sabah, tanpa mengira latar belakang bangsa dan agama untuk bersama-sama menjayakan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) 2.0 ini,” katanya.

Beliau berkata demikian pada acara Kongsi Raya Muhibbah Yee Sang di Pusat Konvensyen Antarabangsa Sabah (SICC) hari ini.


Teks ucapan beliau disampaikan oleh Pembantu Menteri Kepada Ketua Menteri Datuk Ceasar Mandela Malakun.


Katanya, tahun 2026 menandakan lembaran baharu buat negeri Sabah untuk terus melangkah ke hadapan yang kini sedang melangkah ke fasa baharu pembangunan, sesuai dengan berakhirnya Pilihan Raya Umum Dewan Undangan Negeri ke-17 yang lalu.


“Jika Pelan Pembangunan SMJ 1.0 merupakan fasa pemulihan, penyusunan semula dan penstabilan, maka Pelan Pembangunan SMJ 2.0 adalah fasa lonjakan yakni lonjakan daya saing, produktiviti dan nilai ekonomi negeri,”

katanya.


Menurutnya, kejayaan Pelan Pembangunan SMJ 1.0 telah memberikan keyakinan bahawa negeri ini berada pada landasan yang tepat.


Justeru, menurutnya Pelan Pembangunan SMJ 2.0 merupakan lanjutan yang menuntut perubahan yang berterusan dalam mempertingkatkan keupayaan diri, merangkumi perubahan cara berfikir, bekerja dan mencipta nilai baharu untuk rakyat.


“Hala Tuju ini juga sejajar dengan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-13 yang dilaksanakan bermula tahun ini sehingga 2030.


“Kerajaan Negeri kekal komited melaksanakan agenda Sabah Maju Jaya 2.0 sebagai kerangka pembangunan menyeluruh yang menekankan perpaduan rakyat, kestabilan politik dan Pembangunan yang inklusif serta mampan,” katanya.


Mengenai acara Kongsi Raya Muhibbah Yee Sang, Hajiji berkata ianya bukan sekadar gabungan perayaan, tetapi manifestasi nilai saling menghormati, kebersamaan dan kasih sayang yang telah lama menjadi amalan hidup rakyat Sabah.


“Keharmonian inilah yang menjadikan Sabah sebuah negeri yang aman, stabil dan dicontohi, di mana rakyat pelbagai etnik dan kepercayaan hidup bersama dalam suasana saling memahami,” katanya.


Mengenai cubaan untuk memecahkan rekod ASEAN Yee Sang terpanjang iaitu sepanjang 1,500 meter, hari ini, beliau berkata ianya bukan sekadar pencapaian dari sudut angka atau ukuran fizikal, tetapi membawa makna yang jauh lebih besar kepada rakyat dan negeri Sabah.


“Ia adalah simbol penyatuan rakyat Sabah yang terdiri daripada pelbagai etnik, budaya dan kepercayaan, disatukan dalam satu niat dan tujuan yang sama, iaitu untuk membina dan memajukan negeri Sabah yang kita cintai bersama.


“Semoga acara ini dapat memupuk semangat kerjasama serta saling membantu yang melibatkan semua pihak, sama ada kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO), sektor swasta, usahawan serta orang awam, dalam menjayakan satu usaha yang bersejarah di peringkat ASEAN.


“Berteraskan semangat saling menghormati dan kepercayaan, hubungan ini menjadikan ASEAN rakan strategik penting untuk negeri Sabah dalam pelancongan, perdagangan dan pelaburan,” katanya.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page