Sabah fokus sekuriti makanan tangani peningkatan kos sara hidup
- nabalunews
- 2 hours ago
- 2 min read

27 April 2026
KOTA KINABALU: Kerajaan Sabah akan menumpukan perhatian kepada sekuriti makanan bagi menangani impak jangka sederhana dan panjang, memandangkan peningkatan kos sara hidup paling ketara dalam harga makanan.
Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata di bawah Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13), sebanyak RM102,860,557 diperuntukkan bagi pelaksanaan projek berkaitan keterjaminan makanan.
Menurutnya, fokus utama adalah untuk meningkatkan pengeluaran hasil pertanian, ternakan dan perikanan bagi mengurangkan kebergantungan kepada barangan import yang sering terdedah kepada turun naik harga global.
“Matlamat akhir adalah untuk meningkatkan Tahap Sara Diri (SSL) dan memastikan ketersediaan bekalan makanan yang stabil dan mencukupi dalam apa jua keadaan ekonomi,” katanya.
“Sehubungan itu, kerajaan melalui Lembaga Pembangunan Ekonomi dan Pelaburan Sabah (Sedia) telah mengenal pasti lima daerah sebagai Lembah Pengeluaran Makanan iaitu Keningau, Tenom, Nabawan, Tongod dan Tambunan,” katanya di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah pada Isnin.
Hajiji berkata, inisiatif itu bertujuan mengoptimumkan penggunaan tanah negeri untuk pengeluaran makanan berskala besar bagi menstabilkan bekalan untuk pasaran tempatan.
Beliau turut memberi contoh pelaksanaan projek berimpak tinggi seperti Pusat Ternakan Bersepadu Keningau (KILC) yang memberi tumpuan kepada penternakan lembu pedaging untuk pasaran tempatan.
“Selain itu, Sabah Livestock Dairies Breeders Sdn Bhd di Daerah Sook memberi tumpuan kepada penternakan lembu tenusu.
“Usaha ini dijangka dapat mengurangkan pergantungan kepada import daging dan produk tenusu, di samping menstabilkan harga pasaran,” katanya.
Dalam pada itu, kerajaan negeri juga memberi perhatian kepada kecekapan logistik, yang merupakan antara faktor utama yang mempengaruhi harga barangan di Sabah.
Hajiji berkata kerjasama dengan kerajaan Persekutuan dalam pengembangan Pelabuhan Sepanggar dijangka dapat meningkatkan kapasiti pengendalian kargo, mengurangkan kos surcaj logistik dan meningkatkan kecekapan rantaian bekalan.
Langkah itu, menurut beliau secara tidak langsung akan membantu membendung kenaikan harga yang disebabkan oleh kos pengangkutan laut.
“Pada masa sama, kerajaan negeri melalui Unit Perancangan Ekonomi Negeri Sabah terus bekerjasama dengan kerajaan Persekutuan melalui Majlis Tindakan Kos Sara Hidup Negara (Naccol)
“Antara inisiatif utama ialah pelaksanaan Kajian Pelan Tindakan Penstabilan Harga Sabah oleh Universiti Malaysia Sabah (UMS), yang menekankan pembaharuan logistik struktur dan peningkatan pengeluaran domestik sebagai penampan untuk melindungi daya tahan ekonomi rakyat,” katanya.















Comments