top of page

Belum ada keperluan tindakan drastik beri bantuan – Hajiji

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 2 min read

27 April 2026


KOTA KINABALU: Keadaan di Sabah ketika ini belum memerlukan kerajaan negeri mengambil tindakan drastik dalam menangani isu kos sara hidup dan beban ekonomi rakyat, susulan konflik di Asia Barat.


Ketua Menteri. Datuk Seri Hajiji Noor berkata berdasarkan situasi terkini, beberapa bantuan sedia ada yang disalurkan kerajaan adalah memadai buat masa ini.


"Setakat ini, keadaan sekarang ini belum lagi memerlukan kerajaan negeri mengambil tindakan yang drastik untuk memberi bantuan.


"Sebarang bantuan yang diberikan melalui kerajaan negeri ataupun kerajaan Persekutuan sekarang sudah memadai,” katanya pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah ke-17, di sini, hari ini.


Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal (Warisan-Senallang) berkaitan bentuk bantuan disalurkan oleh kerajaan negeri kepada rakyat dalam menghadapi krisis kenaikan harga barang dan tenaga.


Mengulas lanjut, mengambil contoh kenaikan tarif elektrik yang diputuskan sebelum krisis Asia Barat, Hajiji berkata ia berikutan kos operasi yang tinggi, namun Program Rebat Bil Elektrik RM40 disediakan bagi kumpulan di bawah paras kemiskinan selain industri kecil.


Ujarnya, kerajaan negeri sentiasa mengambil kira kumpulan sasar yang terkesan, termasuk golongan berpendapatan rendah serta sektor perniagaan kecil.


"Bagaimanapun kita akan pantau keadaan ini dari masa ke masa, apa yang perlu kita lakukan untuk mengurangkan bebanan rakyat.


"Kita perhatikan dan usahakan mana yang perlu mengikut keadaan masa ataupun tekanan yang terkesan kepada kita," katanya.


Dalam pada itu, Hajiji berkata pelbagai bentuk bantuan kewangan disalurkan secara berterusan dan bersasar antaranya ialah Program Sentuhan Kasih Rakyat (SYUKUR), yang menyediakan bantuan bulanan selama 12 bulan kepada 100,000 orang penerima.


Beliau menjelaskan bilangan itu dijangka meningkat kepada 140,000 penerima dengan peruntukan sebanyak RM339.16 juta.


“Inisiatif itu dilaksanakan selari dengan program bantuan di peringkat Persekutuan seperti Sumbangan Tunai Rahmah (STR) dan Sumbangan Asas Rahmah (SARA),” katanya.


Bagi mengurangkan beban kos utiliti, katanya selain Program Rebat Bil Elektrik RM40 kepada ketua isi rumah yang berdaftar dengan eKasih, turut disediakan ialah pemberian diskaun 10 peratus ke atas bil elektrik Rumah Kebajikan, Rumah Ibadah dan Institusi Pendidikan Kerajaan dan Separa Kerajaan.


Selain itu, diskaun 10 peratus turut diberikan kepada sektor pertanian, akuakultur dan perikanan serta pelaksanaan Off-Peak Tariff Rider (OPTR) iaitu diskaun 20 peratus bagi penggunaan waktu bukan puncak diteruskan kepada pengguna komersial dan industri voltan rendah.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page