top of page

Sabah Jadi Tumpuan Usaha MADANI Perkasa Agrikomoditi dan Alam Sekitar

  • nabalunews
  • Nov 2
  • 3 min read

ree

2 November 2025


BEAUFORT: Penganjuran dua program utama kerajaan Persekutuan di Sabah minggu ini mencerminkan peranan penting negeri ini dalam agenda pembangunan mampan dan kesejahteraan rakyat di bawah pentadbiran Kerajaan MADANI.


Antara program berkenaan ialah Jelajah Agrikomoditi MADANI @ Sabah anjuran Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK) di Beaufort serta Karnival Alam Kita (KAK) Peringkat Negeri Sabah di Kimanis anjuran Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam (NRES).


Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Chan Foong Hin yang mewakili Menterinya yang juga Pemangku Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam, Datuk Seri Johari Abdul Ghani hadir menyempurnakan kedua-dua program tersebut.

ree

Chan berkata, Sabah bukan sahaja penyumbang utama kepada sektor agrikomoditi negara, tetapi juga antara negeri yang paling kaya dengan biodiversiti semula jadi, menjadikan usaha memperkasa komuniti luar bandar serta memelihara alam sekitar sebagai keutamaan nasional.


Katanya, penganjuran kedua-dua acara itu memperlihatkan kesinambungan komitmen Kerajaan MADANI dalam memperkukuh sektor agrikomoditi sambil mempertingkat kesedaran terhadap kelestarian alam sekitar.


“Sabah adalah nadi penting kepada industri agrikomoditi negara bukan sahaja sebagai pengeluar utama, tetapi juga peneraju dalam amalan lestari.


“Dalam masa yang sama, kita mahu setiap rakyat Sabah menjadi sebahagian daripada gerakan menjaga bumi melalui tindakan kecil yang membawa impak besar,” katanya.


Di Beaufort, program Jelajah Agrikomoditi MADANI @ Sabah berlangsung meriah dengan kehadiran ramai pekebun kecil dan penduduk setempat walaupun dalam keadaan cuaca panas. Program ini memberi tumpuan kepada peranan penting komoditi utama seperti sawit, getah, kayu-kayan, koko dan lada dalam menyokong ekonomi negeri dan negara.


Chan berkata, Sabah kini mempunyai 199,000 hektar kawasan tanaman sawit yang diusahakan oleh lebih 31,000 pekebun kecil berdaftar, manakala di daerah Beaufort sahaja terdapat 4,600 hektar kawasan sawit melibatkan 1,500 pekebun kecil.


Dalam majlis tersebut, beliau turut menyerahkan skim bantuan kepada lima penerima terpilih sebagai tanda sokongan kerajaan terhadap kebajikan dan daya tahan pekebun kecil sawit.


“Kita mahu memastikan setiap pekebun kecil di Sabah mendapat peluang untuk meningkatkan produktiviti dan pendapatan melalui skim bantuan, latihan teknikal dan pensijilan lestari. Ini membuktikan bahawa Kerajaan MADANI tidak meninggalkan sesiapa di belakang,” tambahnya.


Turut hadir pada program di Beaufort ialah Setiausaha Politik kepada Menteri Perladangan dan Komoditi, Datuk Rizalman Mokhtar, Ahli Parlimen Beaufort, YB Datuk Hajah Siti Aminah Aching, serta Pengerusi Lembaga Penasihat Giat MARA Beaufort, Datuk Awang Aslee Lakat.


Sementara itu, di Kimanis, Karnival Alam Kita (KAK) Peringkat Negeri Sabah yang dianjurkan oleh NRES dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah dan Jabatan Alam Sekitar, turut mendapat sambutan hangat daripada masyarakat setempat.


Karnival ini menampilkan pelbagai aktiviti seperti bengkel, seminar, gotong-royong komuniti dan program pendidikan alam sekitar bagi memupuk semangat cintakan alam dalam kalangan rakyat.


“Menjaga alam sekitar bukan tugas kerajaan semata-mata, tetapi tanggungjawab bersama daripada pelajar sekolah, usahawan hingga komuniti luar bandar.


"Jika setiap daripada kita mula bertindak walau dengan langkah kecil seperti mengurangkan penggunaan plastik atau menanam pokok, kesannya amat besar kepada masa depan Sabah dan Malaysia,” ujarnya.


Beliau turut menegaskan bahawa kerajaan sedang meneliti pelbagai inisiatif termasuk penggubalan dasar baharu dan sesi libat urus bersama pakar bagi memperkukuh tadbir urus kelestarian serta pemuliharaan biodiversiti negara.


“Kekayaan semula jadi Sabah daripada Gunung Kinabalu dan Lembah Danum hinggalah ke ekosistem terumbu karang di Sipadan yang merupakan antara khazanah alam terunggul di dunia.


"Namun, kita juga berdepan cabaran mendesak seperti kehilangan habitat, pencemaran dan perubahan iklim. Kerajaan sedang menangani isu-isu ini melalui langkah perundangan, kerjasama penyelidikan dan inisiatif berasaskan komuniti bagi memastikan kemajuan yang seimbang dan lestari,” katanya.


Menurutnya, kedua-dua program ini menggambarkan pendekatan menyeluruh Kerajaan MADANI dalam memastikan pertumbuhan ekonomi dan pemeliharaan alam sekitar bergerak seiring, demi membina masa depan yang lebih lestari, inklusif dan sejahtera untuk seluruh rakyat Malaysia.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page