Sabah–Kaltara teroka ekonomi karbon, bantu komuniti pesisir
- nabalunews
- 4 days ago
- 2 min read

5 April 2026
KOTA KINABALU: Kerjasama antara Sabah dan Kalimantan Utara (Kaltara), Indonesia akan memberi tumpuan kepada penerokaan ekonomi karbon sebagai pemangkin pertumbuhan mampan, khususnya di kawasan sempadan kedua-dua wilayah.
Konsul Jenderal Republik Indonesia (KJRI) Kota Kinabalu, Noorman Effendi, berkata inisiatif itu merangkumi usaha pemuliharaan hutan paya bakau serta pengurusan kawasan tanah gambut yang berpotensi menjana pendapatan melalui perdagangan karbon.
Katanya, lawatan kerja rasmi delegasi kerajaan negeri Sabah ke Kaltara dijadualkan minggu hadapan bagi memperincikan pelaksanaan projek strategik yang mampu memberi impak besar kepada ekonomi kedua-dua wilayah.

“Kerjasama ini juga dijangka meningkatkan taraf hidup masyarakat pesisir, termasuk petani dan nelayan, melalui latihan kemahiran serta penyediaan peluang pekerjaan baharu.
“Inisiatif ini turut menyokong agenda kerjasama antarabangsa termasuk Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA),” katanya kepada media selepas Majlis Rumah Terbuka Aidilfitri di Rumah Konsulat Jenderal Indonesia, di sini pada Sabtu.
Majlis itu turut diserikan dengan kehadiran Yang di-Pertua Negeri Sabah, Tun Musa Aman dan isteri, Toh Puan Faridah Tussin, serta Ketua Menteri, Datuk Seri Hajiji Noor bersama isteri, Datin Seri Juliah Salag.
Noorman berkata kehadiran pemimpin tertinggi negeri ke majlis berkenaan mencerminkan hubungan erat antara masyarakat serumpun, selain memperkukuh diplomasi budaya antara Malaysia dan Indonesia.
Dalam pada itu, beliau turut menekankan kepentingan warga Indonesia di Sabah untuk memiliki dokumen sah bagi memastikan perlindungan dan kebajikan mereka terjamin.
“Kami sentiasa menggesa agar mereka datang melalui saluran yang betul dan mempunyai dokumen lengkap bagi memudahkan pihak konsulat menyalurkan bantuan sewajarnya.
“Sehingga kini, dianggarkan kira-kira 170,000 rakyat Indonesia berdaftar di Sabah,” katanya.
Tambah beliau, tenaga kerja Indonesia kekal signifikan dalam sektor perladangan kelapa sawit di negeri ini serta menyumbang kepada aliran kiriman wang ke negara asal.
Hadir sama, Speaker Dewan Undangan Negeri Sabah, Datuk Seri Kadzim M Yahya.















Comments