Sabah, MOTAC Sepakat Kukuhkan Keselamatan Dan Penguatkuasaan Pelancongan
- nabalunews
- 20 minutes ago
- 2 min read

20 Disember 2025
KOTA KINABALU: Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia (MOTAC) dan Kerajaan Negeri Sabah sepakat dalam memperkukuhkan isu keselamatan pelancong, pematuhan peraturan serta penguatkuasaan terhadap aktiviti pelancongan tidak sah.
Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin, berkata perkara berkenaan dipersetujui dalam sesi pertemuan dengan MOTAC yang diketuai Menterinya, Datuk Seri Tiong King Sing.
Katanya, perbincangan mengenai pelbagai perkara strategik itu dilihat akan mampu memberi kesan langsung kepada pengalaman serta kebajikan pelancong di Sabah.
“Isu keselamatan pelancong perlu diberi perhatian serius kerana ia melibatkan reputasi Sabah sebagai destinasi pelancongan.
“Kita tidak mahu sebarang kelompongan dari segi pematuhan SOP atau penguatkuasaan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan, hari ini.
Menurutnya, perbincangan turut menumpukan kepada pematuhan Prosedur Operasi Standard (SOP) bagi pengangkutan bot pelancong, aktiviti selam skuba dan sukan air.
“Mesyuarat turut mengenai keadaan infrastruktur pelancongan awam yang uzur dan berpotensi menjejaskan keselamatan pengunjung.
“Begitu juga demgan isu pelesenan yang menjadi antara kebimbangan utama, termasuk kewujudan pengusaha dan pemandu pelancong tidak berlesen, penyalahgunaan lesen serta operasi pelancongan tanpa kelulusan sah.
“Kita mahu memastikan hanya pengusaha yang sah dan berlesen dibenarkan beroperasi supaya keselamatan pelancong terjamin dan industri ini dapat dikawal dengan lebih berkesan,” katanya.
Menurut Jafry, aktiviti pelancongan haram seperti penggunaan jeti tidak berdaftar, penyalahgunaan pas lawatan sosial, kutipan fi kemasukan pulau secara tidak sah, penggunaan kenderaan pelancongan tidak dilesenkan serta operasi tanpa permit pihak berkuasa tempatan turut dibangkitkan dalam pertemuan itu.
Sehubungan itu, Jafry berkata, beliau yakin pendekatan bersama yang tersusun dan berfokus antara Kerajaan Persekutuan dan Kerajaan Negeri yang akan memberi impak positif yang besar terhadap pengurusan industri pelancongan Sabah.
“Kerjasama erat antara kedua-dua pihak amat penting bagi memastikan pembangunan sektor pelancongan negeri ini dilaksanakan secara mampan, selamat dan berdaya saing, sekali gus memelihara reputasi Sabah di peringkat antarabangsa,” katanya.














