top of page

Sabah Perkukuh Produk Pelancongan Budaya Melalui Pembangunan Pusat Kebudayaan Murut Tenom

  • nabalunews
  • 4 minutes ago
  • 2 min read

12 April 2026


TENOM: Kementerian Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar terus komited dalam memperkasa pelancongan berasaskan warisan menerusi pelaksanaan Projek Meningkatkan Produk Pelancongan di Pusat Kebudayaan Murut Sabah, Tenom (PKMST).


Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Jafry Ariffin berkata, projek itu merupakan satu inisiatif strategik yang memberi penekanan kepada pemeliharaan identiti budaya masyarakat Murut.


Di samping itu katanya, ia juga membantu meningkatkan daya tarikan pelancongan negeri secara mampan.

“Pendekatan pembangunan projek ini berteraskan prinsip keaslian, penceritaan sejarah serta pengalaman ruang yang imersif bagi memastikan pengunjung bukan sahaja melihat tetapi turut menghayati warisan budaya masyarakat Murut secara menyeluruh.


“Pendekatan ini penting agar setiap elemen yang dibangunkan mampu memberikan pengalaman bermakna kepada pengunjung, sekali gus memperkukuh pemahaman terhadap sejarah dan budaya masyarakat Murut,” katanya dalam kenyataan media selepas melawat tapak projek berkenaan.


Turut hadir dalam sesi lawatan tersebut ialah Menteri Pembangunan Luar Bandar Sabah, Datuk Rubin Balang.

Jafry berkata, antara komponen utama projek ini ialah pembinaan Rumah Tengkorak yang bakal menjadi bangunan ikonik dan tarikan utama di kawasan berkenaan.


Katanya, bangunan berkenaan akan berfungsi sebagai pusat interpretasi budaya yang menempatkan pameran sejarah, artifak tradisional serta ruang tayangan bagi memperkenalkan asal-usul masyarakat Murut kepada pengunjung.


“Reka bentuk Rumah Tengkorak ini diterjemahkan secara simbolik sebagai lambang sejarah dan warisan, dengan susun atur ruang yang membawa pengunjung melalui satu perjalanan penceritaan budaya yang tersusun dan bermakna.


“Selain itu, projek ini turut merangkumi pembangunan 10 unit pondok kuburan yang mewakili pelbagai sub-etnik Murut seperti Murut Tagol, Timugon dan Tangara.


“Setiap struktur direka dengan identiti seni bina tersendiri bagi mencerminkan keunikan serta asal-usul setiap sub-etnik,” katanya.


Menurutnya, pembangunan itu bukan sahaja berperanan sebagai produk pelancongan, malah sebagai platform pendidikan dan pemahaman sejarah yang mampu memperkukuh identiti budaya tempatan.


“Ia juga dijangka memberi manfaat langsung kepada komuniti setempat melalui aktiviti pelancongan serta program interpretasi budaya.


“Projek yang bermula pada 6 Mei 2025 ini dijangka siap sepenuhnya pada 6 Mei 2026 dengan kos kontrak berjumlah RM825,559,” katanya.


Sementara itu, Jafry optimis projek berkenaan akan muncul sebagai satu lagi ikon pelancongan budaya yang signifikan di Sabah, khususnya di Tenom.


Katanya, ia sekali gus memperkukuh kedudukan negeri ini sebagai destinasi pelancongan berasaskan budaya dan warisan bertaraf dunia.


“Setiap aspek pembangunan projek ini dilaksanakan dengan mengambil kira sensitiviti budaya serta mematuhi prinsip pemuliharaan warisan bagi memastikan kelestarian jangka panjang,” katanya.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page