Sabah perlukan lebih banyak sumber tenaga tambahan bagi penuhi permintaan industri
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Sabah perlukan lebih banyak sumber tenaga tambahan bagi penuhi permintaan industri



26 Sept 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Sabah memerlukan sumber tenaga yang lebih banyak untuk memenuhi keperluan industri yang menggunakan tenaga elektrik tinggi, kata Timbalan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Liew Chin Tong.


Beliau berkata, negeri itu kini bergantung kepada gas asli untuk 89 peratus penjanaan tenaga, tetapi rizab tenaga hanya 11 peratus, jauh di bawah paras ideal 30 peratus.


Liew berkata, ini memberi peluang untuk memajukan dan meluaskan sektor tenaga di Sabah dengan meneroka sumber tenaga baharu atau teknologi baharu, termasuk tenaga hijau.


"Antara sumber tenaga boleh baharu yang sedang dalam penelitian adalah hidroelektrik, angin, solar dan Ocean Thermal Energy Conversion (OTEC)," beliau berkata demikian ketika menggulung perbahasan Kajian Separuh Penggal Rancangan Malaysia Ke-12 (KSP RMK12) bagi Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) pada sidang khas Dewan Negara di Parlimen, kelmarin.


Beliau berkata, menurut Pelan Induk dan Hala Tuju Tenaga Sabah 2040 (SE-RAMP 2040), penjanaan tenaga boleh baharu di Sabah dijangka meningkat sekitar 1,000 megawatt (MW) atau 50 peratus menjelang 2030.


"Ini adalah pencapaian yang baik berbanding dengan kebergantungan lebih 90 peratus kepada sumber tenaga fosil ketika ini," tambahnya.


Liew juga berkata, Sabah mempunyai potensi untuk membangunkan industri hiliran kelapa sawit, biojisim dan biogas kerana merupakan pengeluar minyak sawit terbesar di Malaysia.


"Sabah mempunyai kelebihan dari segi tenaga kerja, lokasi dan kadar kos kilang yang strategik. Dengan tambahan jana kuasa yang baharu, Sabah boleh menjadi destinasi pelaburan yang baharu di negara ini dan ini akan mengubah landskap ekonomi dan seterusnya memakmurkan rakyat negeri Sabah," katanya.


Ujar beliau lagi, MITI dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) sentiasa berusaha untuk menarik pelaburan ke dalam negara termasuk ke Sabah berdasarkan kekuatan dan kesesuaian ekosistem setempat.


MITI dan MIDA bersama kerajaan negeri Sabah kini sedang bekerjasama merangka strategi melonjakkan ekonomi negeri dengan memberi fokus kepada empat strategi utama, iaitu pembangunan infrastruktur moden, keperluan tenaga sebagai peneraju pelaburan tenaga bersih, pelaburan dalam industri hijau dan strategi hiliran industri tempatan, katanya.



photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page