Sabah peruntukkan RM16.2 juta untuk program belia - Hajiji
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Sabah peruntukkan RM16.2 juta untuk program belia - Hajiji


14 April 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kerajaan negeri Sabah komited untuk membangunkan potensi dan kepimpinan belia di negeri ini dengan memperuntukkan sebanyak RM16.2 juta bagi melaksanakan pelbagai program dan aktiviti tahun ini.


Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor berkata, program-program tersebut adalah sejajar dengan agenda pelan pembangunan Hala Tuju Sabah Maju Jaya (SMJ) yang menekankan kepentingan belia sebagai aset masa depan.


Beliau berkata, kerajaan negeri juga memberi ruang kepada golongan mahasiswa dan mahasiswi untuk menyuarakan pendapat dan cadangan mereka melalui platform seperti Majlis Perundingan Pelajar Sabah (MPPS) dan Sekretariat Mahasiswa Sabah Malaysia (Semesta).


“Selain itu, kerajaan negeri juga memberi tumpuan kepada bidang pendidikan dengan menyediakan bantuan pinjaman pelajaran dan biasiswa melalui Kumpulan Yayasan Sabah bagi memudahkan belia Sabah melanjutkan pengajian ke peringkat tinggi.


“Pada tahun 2022, kita berbelanja RM45 juta untuk 10 inisiatif yang melibatkan bantuan tunai pendaftaran institut pengajian tinggi (IPT), komputer riba dan sokongan kewangan kepada kelab mahasiswa Sabah,” katanya.


Beliau berkata demikian dalam teks ucapan yang dibacakan oleh Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Sabah, Datuk Dr. Mohd. Arifin Mohd. Arif pada Majlis Berbuka Puasa Mahasiswa/Mahasiswi Institusi Pengajian Tinggi Zon Timur – Kelantan, Terengganu dan Pahang di Taman Tamadun Islam di Kuala Terengganu baru-baru ini.


Majlis tersebut dihadiri oleh lebih 500 mahasiswa dan mahasiswi Sabah dari IPT di Kelantan, Terengganu dan Pahang yang berkumpul bersama pemimpin kerajaan negeri itu.


Hajiji turut menyatakan penghargaannya kepada Kumpulan Yayasan Sabah kerana berjaya menghimpunkan mahasiswa dan mahasiswi Sabah di Pantai Timur Semenanjung dalam satu majlis yang merupakan acara tahunan bagi meraikan golongan belia tersebut.


“Ini adalah kali pertama Kumpulan Yayasan Sabah berjaya menghimpunkan mahasiswa dan mahasiswi Sabah dalam satu majlis di Pantai Timur,” ujarnya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page