Sabah rekod 1,255 kes baharu Covid hari ini, 13 kematian
- Jacquline Ebit

- Aug 7, 2021
- 2 min read

7 Ogos 2021
Oleh Jacquline Ebit
KOTA KINABAU: Jumlah kes positif Covid-19 di Sabah pada hari ini ialah 1,225 kes iaitu penurunan sebanyak 36 kes berbanding kelmarin, menjadikan jumlah kumulatif sebanyak 92,456 kes.
Sebanyak 13 kes kematian turut dilaporkan hari ini iaitu enam kes di Kota Kinabalu, tiga kes di Tawau, dua kes di Sandakan, dan masing-masing satu kes di Semporna dan Sipitang.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, semua daerah di Sabah pada hari ini mencatatkan kes baharu dan Zon Merah Covid meningkat kepada 26 daerah.
Hanya satu daerah sahaja di Zon Jingga iaitu di Nabawan.
"Lima daerah di Sabah mencatatkan kes tiga digit, iaitu Kota Kinabalu (241 kes), Tuaran (143 kes), Tawau (135 kes), Beluran (123 kes) dan Sandakan (108 kes),” katanya dalam kenyataan media, hari ini.
"Kes baharu di Tuaran melambung tinggi ke (143) kes, adalah ekoran daripada 39 kes saringan bersasar di lokaliti Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) serta 79 kes daripada kontak rapat.
"Beluran juga naik mendadak dari 6 kes kelmarin kepada 123 kes hari ini yang mana 109 kes daripadanya melalui saringan bersasar.
Manakala dua daerah pula merekod jumlah kes harian melebihi 50 kes, iaitu Penampang (94 kes) dan Beaufort (54 kes).
Masidi berkata, saringan kontak rapat kekal penyumbang utama kepada kes harian di negeri Sabah iaitu sebanyak 618 kes bersamaan 49.24 peratus daripada jumlah keseluruhan kes pada hari ini.
"Daerah Kota Kinabalu, Tawau, Tuaran dan Penampang mencatatkan kes saringan kontak rapat yang tertinggi pada hari ini dengan 119 kes di Kota Kinabalu, 87 kes di Tawau, 79 kes di Tuaran dan 70 kes di Penampang.
"Selebihnya, saringan bergejala merekodkan 247 kes, saringan Kluster merekodkan 131 kes, saringan bersasar pula sebanyak 187 kes dan saringan lain-lain kes sebanyak 72 kes daripada jumlah keseluruhan kes pada hari ini.
"Terdapat 38 kes baharu hari ini melibatkan OKT, iaitu tahanan di penjara / pusat tahanan sementara bagi mereka yang menunggu dihantar balik ke negara asal.
Dalam pada itu, 79.28 peratus daripada kes-kes hari ini adalah dalam Kategori 1 dan Kategori 2. Kategori 1, iaitu 315 kes adalah mereka yang tidak mengalami sebarang simptom dan Kategori 2 iaitu sebanyak 680 kes sekadar mengalami simptom ringan.
“Kedua-dua kategori pesakit ini tidak perlu dimasukkan di hospital untuk rawatan, sekadar ditempatkan di PKRC,” katanya.
Masidi berkata, jumlah pesakit Covid-19 discaj dari hospital / sembuh 653 menjadikan jumlah kumulatif 81,250 orang.
“Seramai 4,449 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,085 orang di hospital, 3,337 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam manakala 19 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara manakala lapan orang di fasiliti swasta.
“Bilangan pesakit dalam ICU pula ialah 132 orang dan 54 orang lagi memerlukan alat bantuan pernafasan,” katanya.















Comments