top of page

Sabah sasar SSL beras 40 peratus menjelang 2030

  • nabalunews
  • 3 hours ago
  • 2 min read

10 April 2026


TELUPID: Sabah menyasarkan peningkatan Tahap Sara Diri (SSL) beras negeri kepada 40 peratus menjelang 2030 melalui penaiktarafan infrastruktur pengairan dan pemulihan kawasan sawah terbiar.


Menteri Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan Sabah, Datuk Jamawi Jaafar berkata, sasaran itu dicapai hasil sesi libat urus bagi memuktamadkan konsep reka bentuk projek pembinaan serta naik taraf sistem pengairan dan saliran di di Skim Pengairan Trusan Sapi, di sini, hari ini.


Bagi mencapai sasaran itu, katanya fokus utama ketika ini adalah menaik taraf sistem pengairan serta memulihkan semula sawah terbiar, termasuk di kawasan Trusan Sapi.


“Jika kita dapat membangunkan sawah padi terbiar seluas kira-kira 4,000 hektar, sekurang-kurangnya ia mampu meningkatkan SSL sebanyak 20 peratus. Ini bermakna menjelang 2030, SSL boleh mencecah sekitar 40 peratus,” katanya ketika ditemui media.


Sesi libat urus itu turut melibatkan pertemuan bersama petani tempatan, pihak Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS), serta delegasi Kementerian Ekonomi yang diketuai Ketua Pengarah Bahagian Pertanian, Datuk Zul Hadi Awang


Mengulas lanjut, Jamawi berkata, pembangunan kira-kira 3,000 hektar kawasan di Trusan Sapi berpotensi menyumbang peningkatan SSL sebanyak 10 peratus sekiranya sistem pengairan dipertingkatkan secara menyeluruh.


Selain aspek infrastruktur, beliau turut menekankan keperluan memperluas penggunaan mekanisasi dalam sektor pertanian serta meningkatkan kapasiti kilang padi bagi menyokong pertambahan pengeluaran pada masa hadapan.


Sementara itu, sehari sebelum sesi berkenaan, beliau mengadakan lawatan tinjauan ke Ladang Unggas Bantayan di Tamparuli milik Jabatan Perkhidmatan Veterinar Sabah.


Lawatan itu bertujuan meninjau pelbagai jenis ternakan termasuk ayam penelur, ayam kampung kacukan, ayam mutiara, burung puyuh, ayam turki dan unggas lain bagi memenuhi keperluan masyarakat, khususnya menerusi program Jelajah Kebun Dapur.


Beliau turut melawat Ladang FarmBay di Tuaran yang mengusahakan penternakan itik dan burung puyuh penelur milik usahawan tempatan, Jessie Ambukon.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page