top of page

Sabah SME FEST 2026 julung kali dianjurkan, platform perkasa PMKS - Ewon

  • nabalunews
  • 5 hours ago
  • 2 min read

KOTA KINABALU 19 Jun 2026 - Sabah SME Fest 2026 yang julung kali dianjurkan oleh Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) menjadi platform penting untuk memperkasa sektor Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) sebagai antara pemacu utama pertumbuhan ekonomi Sabah.


Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Sabah, Datuk Ewon Benedick berkata, festival yang berlangsung selama tiga hari bersempena Minggu PMKS itu turut menyediakan platform kondusif bagi pembangunan perniagaan, inovasi, jaringan strategik dan peluasan akses pasaran kepada usahawan tempatan.


Beliau berkata, lebih 60 usahawan pempamer daripada pelbagai sektor mengambil bahagian dalam festival berkenaan, manakala sekitar 5,000 pengunjung disasarkan sepanjang tempoh penganjurannya.


“Sabah SME Fest 2026 merupakan festival yang julung kali dianjurkan oleh DIDR dan menghimpunkan usahawan, agensi kerajaan, institusi kewangan, badan pembangunan usahawan serta sektor swasta dalam satu platform yang menyeluruh.


“Ia bukan sahaja mempromosikan produk dan perkhidmatan PMKS, tetapi turut menjadi ruang untuk jaringan strategik, perkongsian ilmu dan penerokaan peluang perniagaan yang mampu memberi manfaat secara langsung kepada usahawan Sabah,” katanya.


Beliau berkata demikian ketika berucap merasmikan Sabah SME Fest 2026 di sini, hari ini.


Ewon berkata, program itu membantu PMKS meningkatkan daya saing melalui pendedahan kepada pelbagai bentuk sokongan yang disediakan oleh kerajaan dan rakan strategik termasuk latihan keusahawanan, pendigitalan perniagaan, bantuan mesin dan peralatan, pensijilan serta peluasan akses pasaran.


Katanya, festival berkenaan turut membuka peluang kepada usahawan untuk mempromosikan produk dan perkhidmatan mereka kepada pengguna, pembeli berpotensi, agensi kerajaan dan rakan industri.



“Kerjasama strategik seperti Sabah DigitalUp Launchpad 2026 dan Kempen Sabah Digital Mall di TikTok membolehkan PMKS mengembangkan pasaran mereka melalui platform digital serta menembusi pasaran yang lebih luas di peringkat nasional dan serantau,” katanya.


Beliau berkata, antara cabaran utama yang dihadapi PMKS di Sabah ialah meningkatkan produktiviti, memperluaskan akses pasaran serta menyesuaikan diri dengan perubahan teknologi dan pendigitalan.


Sehubungan itu, katanya, Kerajaan Negeri terus komited membantu usahawan melalui pelbagai program pembangunan PMKS termasuk bantuan SME-UP, latihan keusahawanan dan program pendigitalan perniagaan.

Pada masa sama, Ewon berkata, kerajaan memperkenalkan Tabung Khas Pembangunan Keusahawanan berjumlah RM1 juta serta memperluaskan pelaksanaan Program Bantuan SME-UP 2026 bagi membantu PMKS berkembang secara mampan.


Katanya, MINDET turut bekerjasama dengan TikTok Shop Malaysia menerusi Sabah DigitalUp Launchpad 2026 yang menyasarkan penyertaan 1,000 PMKS, RM10 juta nilai jualan digital serta pelaburan RM1 juta dalam bentuk geran, latihan dan sokongan komuniti.


“Kita mahu melihat lebih ramai usahawan Sabah berkembang daripada jenama tempatan kepada kebanggaan nasional dan serantau, malah mampu menembusi pasaran antarabangsa.


“Melalui kerjasama erat antara kerajaan, institusi kewangan, sektor swasta dan penyedia teknologi, kita dapat memastikan usahawan mendapat akses kepada latihan, pembiayaan, pendigitalan, pemasaran dan peluang jaringan yang diperlukan untuk terus berkembang dan berdaya saing,” katanya.


Turut hadir Pembantu Menteri Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan Datuk Jonnybone J Kurum, Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan (MINDET) Datuk Thomas Logijin dan Pengarah Jabatan Pembangunan Perindustrian dan Penyelidikan (DIDR) Siti Nur'Ain Abdullah.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page