top of page
  • Writer's pictureIlona Andrew

Sabah terima peruntukan RM18.2 juta untuk pengurusan bencana


Ismail Sabri (dua kiri) menyampaikan cek contoh kepada Hajiji (dua kanan). Turut hadir semasa majlis penyampaian itu adalah Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Bung Moktar Radin (kanan).

16 Sept 2021

Oleh Ilona Andrew


KOTA KINABALU: Negeri Sabah telah menerima sebanyak RM18.24 juta peruntukan dari Kerajaan Persekutuan melalui Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara (KWABBN) bagi melancarkan proses tindak balas bencana.


Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob turut mengumumkan bahawa Bantuan Wang Ihsan dinaikkan dari RM500 ke RM1,000.


"Saya berharap agar sebahagian daripada peruntukan ini dapat digunakan untuk membantu mangsa-mangsa tanah runtuh di Penampang, Sabah semalam. Ucapan takziah dan simpati saya kepada mangsa yang terkorban.


"Keadaan pasca banjir memang membebankan bagi setiap isi rumah yang terjejas akibat Monsun Timur Laut (MTL). Justeru, saya juga mengumumkan Peruntukan Perbelanjaan Operasi dalam MTL 2021/2022 berjumlah RM9.5 juta yang akan disalurkan dari KWABBN," katanya.

Ismail menyampaikan sumbangan kepada mangsa terjejas di Kampung Madsiang, Penampang selepas majlis penyampaian cek contoh di Menara Kinabalu.

Beliau berkata demikian dalam satu kenyataan selepas menyampaikan cek contoh peruntukan berkenaan kepada Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Hajiji Noor di Menara Kinabalu, hari ini.


Selain itu, Ismail berkata bagi melancarkan pengagihan bantuan dari Badan Bukan Kerajaan (NGO) dan penderma, sistem eSumbangan NGO akan dibangunkan sebagai platform penyelarasan bantuan kepada mangsa bencana.


"Sudah menjadi tanggungjawab bagi kerajaan untuk sentiasa berusaha meringankan beban mereka yang diuji dengan bencana, apatah lagi yang diuji ini ialah ahli Keluarga Malaysia."


Pada hari yang sama, Ismail turut melawat keadaan tanah runtuh di Kampung Madsiang dan menyampaikan sumbangan kepada tiga keluarga yang terjejas , Penampang.


Semalam, beberapa kawasan di sekitar Kota Kinabalu, Penampang dan Putatan dilanda banjir kilat akibat hujan lebat berterusan.

bottom of page