Sabah tolak tuntutan waris Sulu
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Sabah tolak tuntutan waris Sulu


30 Mac 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


PUTATAN: Kerajaan negeri dan rakyat Sabah menolak sekeras-kerasnya tuntutan tanah oleh kumpulan yang mendakwa sebagai waris Sulu, kata Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor.


Beliau berkata Sabah telah memilih untuk bersama membentuk Malaysia melalui Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan tidak akan mengiktiraf sebarang tuntutan pihak luar.


Jelas Hajiji, beliau yakin Kerajaan Persekutuan akan mengambil tindakan serius dan langkah konkrit bagi menyelesaikan isu tuntutan ke atas Sabah.


“Kita sendiri tidak pernah mengiktiraf tuntutan Sultan Sulu ini,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan sumbangan Ramadan di sini pada Rabu.


Tuntutan tanah Sabah oleh kumpulan waris Sulu timbul semula apabila mereka membawa tindakan undang-undang ke Mahkamah Sepanyol untuk mendapatkan pampasan terhadap tanah yang didakwa telah dipajak oleh nenek moyang mereka kepada sebuah syarikat perdagangan British pada 1878.


Turut hadir pada majlis sumbangan Ramadan itu ialah Timbalan Ketua Menteri III Datuk Shahelmey Yahya yang juga Ahli Parlimen Putatan dan Ahli Dewan Undangan Negeri Petagas Datuk Awang Ahmad Sah Sahari.

bottom of page