top of page
  • Wartawan Nabalu News

Sabah tubuh taskforce bangunkan sistem rel di KKIP


13 April 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kerajaan Negeri Sabah telah menubuhkan satu taskforce bagi mengkaji dan merancang pembangunan sistem rel di Taman Perindustrian Kota Kinabalu (KKIP) dan Kota Kinabalu.


Menteri Pembangunan Perindustrian dan Keusahawanan (MIDE), Phoong Jin Zhe berkata, usaha itu bertujuan untuk menyediakan infrastruktur pengangkutan yang mampan di taman perindustrian tersebut.


Beliau berkata, sistem rel itu akan memudahkan pengangkutan barang dan pekerja di KKIP yang merupakan lokasi pelaburan dua kilang besar iaitu SK Nexilis (M) Sdn Bhd dari Korea Selatan dan Kumpulan Kibing dari China.


“Kedua-dua kilang ini akan mula beroperasi pada hujung tahun 2023 dan dijangka akan mewujudkan lebih daripada 2,500 peluang pekerjaan yang berpendapatan tinggi dan berkemahiran tinggi untuk rakyat Sabah,” katanya pada sidang media sempena seratus hari beliau menyandang jawatan sebagai Menteri MIDE di pejabatnya di Wisma Kewangan, di sini,kelmarin.


Phoong turut memaklumkan bahawa Kabinet Negeri juga telah meluluskan projek naik taraf jalan raya KKIP untuk mengelakkan kesesakan jalan raya semasa operasi kilang-kilang tersebut.


Selain itu, beliau berkata, MIDE juga sedang menjalinkan kerjasama ekonomi dengan beberapa kerajaan wilayah di China bagi menarik lebih banyak pelaburan ke Sabah.


Beliau berkata, beliau akan mengetuai satu rombongan lawatan kerja ke China pada 20 April ini bagi membincangkan kerjasama ekonomi dalam pelbagai sektor termasuklah sektor perindustrian.


“Lawatan ini juga memberi fokus untuk mewujudkan ataupun menjalinkan kerjasama ekonomi di antara Kerajaan Sabah dan Kerajaan Wilayah di China seperti Wilayah Jilin dan Wilayah Guangxi,” katanya.


Phoong juga berkata, MIDE telah mengambil inisiatif untuk meningkatkan peruntukan dalam beberapa program keusahawanan seperti Program SME-UP dari RM10 juta ke RM15 juta dan menubuhkan Sabah Entrepreneurship Aspiration Fund (SEAF) sebanyak RM1 juta.


Beliau berkata, tujuan program-program ini adalah untuk membantu usahawan-usahawan Sabah untuk meningkatkan produktiviti dan pengeksportan produk-produk tempatan.


“Kementerian saya juga telah menubuhkan tujuh Pusat Produk IKS di seluruh daerah dan satu Pusat Produk IKS di Semenanjung Malaysia atau dikenali Authentic Sabah Mart yang terletak di GM Klang Wholesale City, Selangor bagi mempromosi dan menjual produk-produk IKS Sabah,” katanya.


Ujarnya pada tahun ini, MIDE juga akan melancarkan Anugerah Kecemerlangan Industri Sabah (AKIS) yang ke-sembilan sebagai pengiktirafan kepada syarikat-syarikat Sabah yang cemerlang dalam penghasilan produk dan penyampaian perkhidmatan.


“Saya sentiasa ingati bahawa tanggungjawab ini adalah berat dan dari rakyat. Saya akan terus berusaha dan terus bekerja keras dalam masa yang akan datang dan pastikan Sabah merekodkan prestasi pertumbuhan ekonomi dan pembangunan perindustrian yang lebih baik dan mampan pada tahun ini,” katanya.

bottom of page