top of page

Warga MAFFI diseru tingkat usaha perkukuh sektor agromakanan negeri

  • nabalunews
  • 4 hours ago
  • 2 min read

17 April 2026


KOTA KINABALU: Warga Kementerian Pertanian, Perikanan dan Industri Makanan (MAFFI) diseru terus mempertingkat usaha dan komitmen dalam memperkukuh pembangunan sektor agromakanan negeri.


Menterinya, Datuk Jamawi Jaafar berkata, komitmen berterusan daripada semua peringkat jabatan dan agensi amat penting bagi memastikan setiap perancangan yang dirangka dapat diterjemahkan kepada manfaat nyata di peringkat akar umbi.


Menurutnya, kejayaan yang dicapai setakat ini adalah hasil usaha kolektif seluruh warga kementerian termasuk Setiausaha Tetap, timbalan, ketua jabatan serta agensi di bawahnya.


“Saya amat menghargai sokongan semua pihak yang terus komited memajukan sektor pertanian, perikanan dan industri makanan Sabah,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Raya Aidilfitri MAFFI di Dewan Serbaguna, Wisma Pertanian, di sini, semalam.


Jamawi menegaskan peranan kementerian bukan sekadar merangka dasar, sebaliknya memastikan pelaksanaan program benar-benar memberi impak kepada golongan sasar khususnya petani, nelayan dan penternak.


Katanya, tanggungjawab pengarah, ketua agensi dan pengurus pusat adalah memastikan setiap perancangan dilaksanakan dengan baik demi kepentingan rakyat.


Pada masa sama, beliau turut menggesa agar usaha berkenaan diperkukuh melalui kerjasama erat bersama semua pengusaha dalam sektor agromakanan.


“Teruskan kerja keras dan sentiasa bersama masyarakat termasuk petani, nelayan, penternak serta semua pengusaha dalam sektor ini.


“Pendekatan turun padang dan memahami keperluan sebenar golongan sasar perlu dijadikan amalan berterusan bagi memastikan dasar yang digubal kekal relevan,” ujarnya.


Dalam pada itu, Jamawi turut merakamkan penghargaan kepada semua agensi yang terlibat menjayakan majlis berkenaan, termasuk penyediaan juadah yang disifatkannya sebagai terbaik.


Beliau juga berkongsi bahawa pemberian sumbangan Aidilfitri kepada warga kementerian merupakan amalan peribadinya sejak mula berkhidmat dalam sektor pertanian pada 1987 sebagai tanda penghargaan terhadap komitmen mereka.


Jamawi turut menyentuh mengenai kepentingan hubungan silaturahim dalam kalangan warga kementerian bagi memperkukuh semangat kerja berpasukan dalam mencapai matlamat pembangunan sektor agromakanan Sabah.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page