Sabah wajar nilai implikasi cabaran terhadap Akta Petroleum – Salleh
- nabalunews
- Feb 25
- 2 min read

25 Februari 2026
KOTA KINABALU: Tindakan Kerajaan Sarawak mencabar tiga akta Persekutuan berkaitan petroleum sebagai perkembangan penting yang wajar diberi perhatian serius oleh Sabah.
Bekas Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Salleh Said Keruak berkata, ia khususnya dalam menilai kedudukan hak negeri serta keseimbangan kuasa dalam Persekutuan.
“Tindakan Sarawak mencabar Akta Pembangunan Petroleum 1974, Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966 telah menimbulkan persoalan penting mengenai hak petroleum dan keseimbangan kuasa negeri dalam Persekutuan.
“Sabah tidak terlibat secara langsung dalam kes ini, namun keputusan mahkamah kelak berpotensi mempengaruhi tafsiran hak negeri pada masa hadapan,” katanya menerusi hantaran di Facebook.
Salleh berkata, Sabah boleh memilih untuk mengambil pendekatan tunggu dan lihat, namun pada masa sama perlu bersiap sedia dari segi perundangan dan dasar bagi menghadapi sebarang kemungkinan perubahan dalam landskap perlembagaan negara.
“Soalan mudahnya ialah, adakah kita bersedia sekiranya berlaku perubahan dalam landskap perlembagaan? Persediaan awal amat penting supaya kepentingan negeri terus terpelihara,” katanya.
Beliau menegaskan isu berkenaan bukan bertujuan mencetuskan konfrontasi antara kerajaan negeri dan Persekutuan, sebaliknya menuntut kejelasan dari sudut undang-undang demi melindungi kepentingan jangka panjang Sabah.
Justeru katanya, kerajaan negeri wajar bertindak secara bijaksana dalam menilai perkembangan berkenaan, dengan matlamat memastikan masa depan Sabah kekal terjamin dalam kerangka sebuah Persekutuan yang adil dan seimbang.
Semalam, kerajaan Sarawak memfailkan satu petisyen di Mahkamah Persekutuan bagi mencabar kesahihan dan keberterusan pemakaian tiga undang-undang persekutuan berkaitan petroleum yang didakwa menjejaskan hak negeri itu terhadap sumber minyak dan gas luar pesisir.
Dalam kenyataannya, kerajaan Sarawak mendakwa Akta Pembangunan Petroleum 1974, Akta Pelantar Benua 1966 dan Akta Perlombongan Petroleum 1966 menjejaskan haknya terhadap sumber petroleum dasar laut dalam sempadan negeri seperti ditakrifkan sebelum Hari Malaysia.
Berdasarkan Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) serta instrumen perlembagaan yang berkaitan, katanya, hak kedaulatan ke atas sumber petroleum dalam sempadan Sarawak telah diserahkan pada Hari Malaysia oleh Kerajaan British kepada negeri itu, bukannya kepada Kerajaan Persekutuan.















Comments