Sahabat AIM perlu kreatif terokai pasaran perniagaan
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Sahabat AIM perlu kreatif terokai pasaran perniagaan


Mohina (dua dari kanan) menyampaikan penghargaan kepada pengerusi Kelab Usahawan AIM cawangan Telupid/ Tongod, Rosdiani Dawa pada Malam Anugerah AIM Cawangan Telupid.

7 November 2023

Oleh Wartawan Nabalu News TELUPID: Peminjam atau Sahabat Amanah Ikhtiar Malaysia (AIM) perlu lebih kreatif meneroka teknik perniagaan secara atas talian bagi membolehkan produk mereka dipasarkan dengan lebih meluas.


Ahli Lembaga Pengarah AIM, Mohina Sidom, berkata Sahabat AIM perlu menggunakan peluang yang ada sebaiknya menerusi kewujudan pelbagai media sosial ke arah memajukan perniagaan mereka.


Katanya, kecanggihan teknologi pada masa kini menjadikan perniagaan lebih mudah tanpa menggunakan kos pemasaran yang tinggi berbanding kaedah konvensional yang memerlukan lebih banyak tenaga, masa dan wang.

Maljada (kiri) menyampaikan anugerah kepada timbalan ketua pusat terbaik pada Malam Anugerah AIM Cawangan Telupid.

"Zaman sekarang yang mana kaedah perniagaan secara konvensional kurang digunakan memerlukan kita menjadi lebih kreatif dan berani meneroka teknik perniagaan yang baharu.


"AIM semestinya sudah merangka dan akan merancang lebih banyak program seperti latihan keusahawanan untuk membantu Sahabat AIM," katanya berucap merasmikan Malam Anugerah AIM Cawangan Telupid di Dewan Institut Perhutanan Sabah, di sini, baru-baru ini.


Turut hadir ialah Timbalan Pengurus AIM Wilayah Sabah, Maljada Tang dan Pengurus AIM Telupid, Samsudin Lidan.


Program anjuran Kelab Usahawan AIM Telupid yang bertujuan untuk mengiktiraf kecemerlangan dan menghargai Sahabat AIM dihadiri kira-kira 350 Sahabat AIM dari sekitar Telupid dan Tongod.

Antara Sahabat AIM yang hadir pada Malam Anugerah AIM Cawangan Telupid, di Telupid.

Mohina yang juga Ketua Wanita Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) turut menasihatkan Sahabat AIM di negeri ini agar lebih berdisiplin untuk membayar balik pinjaman mengikut jadual ditetapkan.


Katanya, sejak skim itu diperkenalkan lebih 30 tahun lalu, AIM telah membantu ramai golongan sasar dengan menyediakan pembiayaan modal perniagaan untuk menjana pendapatan isi rumah, sekali gus keluar daripada kepompong kemiskinan.


"Tunggakan pinjaman tidak berlaku jika semua Sahabat memiliki budaya disiplin yang tinggi untuk membayar balik pinjaman.


"Sebagai organisasi penyedia pinjaman mikro kredit, setiap tahun AIM menyediakan dana yang tinggi untuk membantu Sahabat AIM yang sebahagian besar adalah wanita yang menjalankan perniagaan kecil-kecilan dan berpendapatan secara harian," katanya.


Mohina turut menyeru wanita agar menjauhi peminjam wang tidak berlesen atau 'ah long', sebaliknya memanfaatkan saluran yang sah seperti AIM jika berdepan masalah kewangan.


bottom of page