top of page

Saksi Kanak-Kanak Kedua Dedah Tekanan Emosi Zara Qairina Sebelum Insiden

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 1 min read

ree

24 September 2025


KOTA KINABALU: Prosiding Inkues Kematian Allahyarhamah Zara Qairina Mahathir hari ini mendengar keterangan daripada saksi kanak-kanak kedua yang memberi gambaran situasi yang berlaku pada malam kejadian 15 Julai lalu.


Peguam mewakili Noraidah Lamat, Rizwandean M Borhan berkata, mengikut keterangan saksi, insiden bermula apabila dia kehilangan dompet dan menaruh syak terhadap arwah Zara Qairina.


Katanya, Zara Qairina kemudian dipanggil ke sebuah bilik dorm lain dan dikepung untuk disoal siasat namun mangsa menafikan mengambil dompet berkenaan.


“Ketika ditanya mengenai dompet tersebut, arwah Zara menafikan sekeras-kerasnya tuduhan itu dan bersumpah dengan lafaz “Wallahi saya tidak sentuh, saya tidak ambil dompet”.


“Saksi memberitahu mahkamah bahawa dia percaya kepada sumpah Zara Qairina dan seterusnya memohon maaf.


“Bagaimanapun, keadaan bertukar tegang apabila seorang lagi pelajar lain masuk ke dalam dorm dan menuduh Zara mencuri pin bendera.


“Pelajar berkenaan kemudian membawa dua orang lagi rakan lain, menyebabkan arwah Zara dikelilingi oleh kumpulan pelajar.


“Saksi menyatakan seorang pelajar ini telah marah pada Zara Qairina dan beberapa perkataan telah digunakan seperti bodoh, sial, injak. Pada masa itu arwah Zara menangis,” katanya.


Menurutnya, saksi kedua memberitahu Zara Qairina dikepung oleh kira-kira lapan pelajar namun tiada sebarang sentuhan berlaku.


Katanya, mengikut saksi lagi, seorang pelajar membawa keluar sepucuk surat yang dirujuk sebagai “privasi Zara” yang menjadi bahan ejekan.


“Surat itu dipercayai berkaitan hasrat Zara Qairina untuk menjadi Badar (pengawas) di sekolah.


“Arwah Zara Qairina dikatakan semakin menangis apabila surat itu diketawakan oleh pelajar lain.


“Malah saksi sendiri turut merasa takut melihat Zara Qairina menangis sebelum dilihat berlari keluar dari dorm berkenaan,” katanya.


Prosiding inkues yang tamat jam 4.15 petang itu akan bersambung esok dengan keterangan daripada saksi kanak-kanak ketiga.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page