• Wartawan Nabalu News

SAKSIKAN KEMUNCAK KAAMATAN UPKO ONLINE, 23 MEI INI

Updated: May 20


Peserta-peserta Unduk Ngadau Kamatan UPKO Online 2021


18 Mei 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Kaamatan Online Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) akan disiarkan secara langsung menerusi laman sosial Facebook UPKO Malaysia pada 23 Mei ini bermula jam 1.00 petang.


Pengerusi Penganjur Monih Epin berkata, Kaamatan Online UPKO tahun ini bertemakan Kaamatan Membangun Masyarakat Progresif adalah kali kedua diadakan dengan norma baharu.



Beliau berharap jumlah penonton Kaamatan Online tahun ini lebih banyak daripada tahun lalu.

Monih Epin

“Tahun lalu, kita berjaya menarik lebih 150,000 penonton dari dalam dan luar negara dan saya berharap tahun ini, jumlah penonton lebih banyak daripada itu.


“Walaupun negara kita masih dilanda pandemik Covid-19 namun ia tidak menghalang kita meneruskan sambutan Kaamatan dengan norma baharu melalui online yang boleh ditonton oleh seisi keluarga di rumah masing-masing di mana sahaja mereka berada termasuk di luar negara.


“Sebelum pandemik Covid-19 melanda dunia, biasanya kita menganjurkan Pesta Kaamatan UPKO di dewan dan penontonnya agak terhad lebih kurang 2,000 hingga 3,000 orang mengikut kapasiti dewan.



“Tetapi melalui online, semua dapat menontonnya walau di mana mereka berada yang penting ada liputan internet,” katanya.


Monih berkata, tahun ini pihak penganjur menyediakan hadiah istimewa iaitu wang tunai sebanyak RM500 kepada mereka yang kongsi atau share link terbanyak semasa kemuncak Kaamatan UPKO Online yang akan disiarkan secara langsung menerusi Facebook UPKO Malaysia pada 23 Mei ini, jam 1.00 petang.


Mengenai tema Kaamatan UPKO tahun ini Monih berkata, ia mengajak seluruh rakyat menilai pencapaian diri sendiri dalam pelbagai bidang yang mereka ceburi.


“Dari segi sejarah kaamatan, sebenarnya kita merayakannya bagi menghormati semangat padi atau Bambarayon selepas menuai padi.


“Namun pada masa kini, masyarakat kita bukan sahaja menanam padi tetapi bekerja dalam pelbagai sektor pekerjaan termasuk dalam sektor kerajaan, swasta dan sebagai usahawan.


“Oleh itu, Kaamatan adalan peluang untuk kita menilai pencapaian atau keluarga dari segi ekonomi atau pekerjaan kita.