top of page

Sambutan “7 Dalam 1” Kukuhkan Semangat Kesyukuran dan Perpaduan Komuniti KUK Apin-Apin

  • nabalunews
  • 5 hours ago
  • 2 min read

24 Mei 2025


KENINGAU: Komuniti Umat Katolik (KUK) St. Anthony Abbot, Apin-Apin, telah menganjurkan Perayaan “7 Dalam 1” yang berlangsung dengan penuh kemeriahan dan kesyukuran, menghimpunkan pelbagai elemen penting kehidupan masyarakat dalam satu majlis bersejarah pada 18 Mei yang lalu.


Ketua Jawatankuasa Hubungan Antara Kaum (CLC) Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) Bingkor Keningau, Kennedy John, turut hadir dan menyifatkan perayaan tersebut sebagai manifestasi perpaduan komuniti serta pengiktirafan terhadap jasa pelbagai golongan dalam masyarakat.


Perayaan ini meliputi tujuh agenda utama iaitu Majlis Kesyukuran Ulang Tahun Pertama Kepaderian dan Penghargaan kepada Rev. Fr. Kennedy Nakudah, sambutan Pesta Kaamatan, serta penghargaan sempena Hari Ibu, Hari Guru, Hari Jururawat dan Hari Pekerja.


Ia dirancang secara menyeluruh bagi meraikan peranan individu dan kumpulan yang telah memberikan sumbangan bermakna kepada kehidupan seharian masyarakat.


Menurut Kennedy, inisiatif ini menunjukkan semangat keterangkuman dan menghargai nilai-nilai murni seperti kasih sayang, dedikasi dan pengorbanan.


“Majlis ini merupakan satu contoh terbaik bagaimana masyarakat boleh bersatu dan saling menghormati peranan masing-masing dalam suasana yang harmoni dan penuh penghargaan,” ujar beliau.


Perayaan tersebut disemarakkan dengan pelbagai aktiviti keagamaan, persembahan budaya serta penyampaian penghargaan kepada individu-individu terpilih. Ia turut dihadiri oleh penduduk setempat yang hadir beramai-ramai sebagai tanda sokongan dan kesatuan masyarakat.


Kennedy turut menyeru agar pendekatan seumpama ini terus diperkasa dan dijadikan platform untuk memperkukuh semangat perpaduan dan tanggungjawab sosial.


“Kita harus terus menyemai budaya kesyukuran dan saling menghargai dalam kalangan masyarakat, kerana asas kepada pembangunan komuniti yang kukuh terletak pada hubungan yang erat dan saling menghormati antara satu sama lain,” katanya lagi.


Perayaan “7 Dalam 1” ini membuktikan bahawa pendekatan inklusif dalam meraikan pelbagai golongan mampu menjadi jambatan kepada keharmonian serta pembinaan masyarakat yang bersatu padu dan saling menyokong antara satu sama lain.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page