Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia Meriah di Kampung Melangkap Tiong
- nabalunews
- Oct 18
- 1 min read

18 Oktober 2025
KOTA BELUD: Sempena Sambutan Hari Kanak-Kanak Sedunia 2025, Gereja Sidang Injil Borneo (SIB) Kampung Melangkap Tiong telah menganjurkan satu program sukaneka peringkat Persekutuan Kanak-Kanak (PKK) yang berlangsung dengan penuh meriah dan berinformasi pada Sabtu lalu.
Program bermula seawal jam 6.30 pagi dengan sesi senamrobik yang disertai oleh para pelajar, ibu bapa serta guru-guru PKK. Aktiviti diteruskan dengan gotong-royong memungut sampah di sekitar Kampung Melangkap Tiong dan kawasan Sekolah Kebangsaan (SK) Melangkap sebagai usaha memupuk kesedaran terhadap kebersihan dan kelestarian alam sekitar.
Penolong Setiausaha Majlis Gereja SIB Melangkap Tiong merangkap Yang Dipertua PIBG SK Melangkap, Encik Anichlose Kesimin, melahirkan rasa terharu atas semangat kerjasama yang ditunjukkan oleh guru-guru PKK, ibu bapa serta pihak gereja dalam menjayakan program tersebut.

“Saya mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua pihak yang terlibat. Program ini bukan sahaja menghiburkan anak-anak kita, malah turut mendidik mereka dengan nilai moral, disiplin dan semangat berpasukan,” katanya ketika ditemui.
Antara pengisian menarik sepanjang program termasuk sesi doa dan pembacaan Alkitab di kawasan Bombon Ikan Jinak Melangkap Tiong, diikuti dengan jamuan sarapan pagi secara gotong-royong. Pelbagai aktiviti seperti permainan kumpulan, kuiz Alkitab, penyampaian hadiah serta sesi bergambar turut menambah keceriaan suasana.

Program berakhir sekitar jam 12.00 tengah hari dengan penuh keriangan dan meninggalkan kenangan indah buat semua peserta. Pihak penganjur berharap agar penganjuran aktiviti seperti ini dapat diteruskan pada masa hadapan bagi memupuk semangat kekeluargaan serta memperkukuh nilai-nilai murni dalam kalangan generasi muda.


















Comments