Sambutan HPPK 2023 akan diadakan di Sabah: Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Sambutan HPPK 2023 akan diadakan di Sabah: Ewon

23 Disember 2022

Oleh Wartawan Nabalu News


PUTRAJAYA: Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi Datuk Ewon Benedick berkata, sambutan Hari Penjaja dan Peniaga Kecil (HPPK) 2023 akan diadakan di Sabah.


Beliau berkata, sambutan itu yang diadakan setiap tahun bertujuan untuk menghargai sumbangan golongan penjaja dan peniaga kecil terhadap ekonomi negara.


“Kerajaan telah mewartakan 18 November setiap tahun sebagai Hari Penjaja dan Peniaga Kecil bagi menghargai sumbangan golongan itu terhadap ekonomi negara.


“Namun, penganjuran sambutan HPPK 2022 ini sedikit lewat kerana memberi laluan kepada Pilihan Raya Umum ke-15 serta penubuhan barisan Kabinet yang baharu,” katanya ketika berucap pada Konvensyen Hari Penjaja dan Peniaga Kecil Peringkat Kebangsaan Tahun 2022 (HPPK 2022), di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC), di sini, semalam.

Majlis itu dirasmikan oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.


Ewon berkata, HPPK bertemakan “Kesepaduan Penjaja dan Peniaga Kecil Penjana Ekonomi Negara” amat signifikan dan tepat pada masanya dengan mengambil kira kesepaduan komuniti penjaja dan peniaga kecil sebagai tonggak utama dalam menggerakkan ekonomi domestik negara.


“Sambutan HPPK 2022 kali ini dilaksanakan dengan konsep konvensyen dengan menghimpunkan seramai 2,500 golongan penjaja dan peniaga kecil serta pelbagai pihak lain.


“Sepanjang Konvensyen HPPK 2022 ini berlangsung, Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP) turut menyediakan ekspo dan pameran bagi memberi peluang kepada golongan penjaja dan peniaga kecil mendapatkan maklumat perniagaan, peluang-peluang pembiayaan dan pemasaran serta pelbagai lagi yang ditawarkan oleh kementerian atau agensi berkaitan,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan perpaduan akan terus memberi komitmen untuk sentiasa membantu golongan penjaja dan peniaga kecil agar terus menjadi antara penyumbang utama kepada pengukuhan dan kestabilan ekonomi negara.


“Sehingga hari ini, negara masih lagi berusaha untuk membangkitkan ekonomi kesan daripada penularan Covid- 19. Penularan ini juga memberi kesan kepada rakyat terutamanya kepada mereka yang menjadikan peniagaan sebagai punca utama pendapatan.


“Selain itu, bencana alam seperti banjir turut memberi impak besar terhadap kehilangan harta benda dan ia juga secara tidak langsung menyebabkan sebahagian daripada perniagaan terpaksa menanggung kerugian besar akibat bencana alam,” katanya.

Beliau berkata, berdasarkan kajian, 57.1% perniagaan yang beroperasi di kawasan bandar yang gulung tikar sepanjang tempoh fasa pandemik Covid-19 dan 91.8% merupakan perniagaan milikan bumiputera.


“Kita dapati lebih 97% usahawan yang menyatakan hasrat untuk memulakan semula perniagaan mereka dan memerlukan bantuan Kerajaan dalam bentuk Geran, Pembiayaan serta Latihan dan Bimbingan,” katanya.


Sehubungan itu, beliau berharap HPPK 2022 dapat memberikan manfaat kepada semua golongan penjaja dan peniaga kecil dalam membangunkan semula perniagaan yang terjejas sebelum ini.


“Saya juga berharap KUSKOP akan terus komited untuk membantu pembangunan golongan penjaja dan peniaga kecil dan golongan ini akan terus menjadi antara penyumbang utama kepada pengukuhan dan kestabilan ekonomi negara,” katanya.

photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page