top of page

PESTA KAAMATAN, AIDILFITRI WADAH UNTUK MUHASABAH: EWON

Wartawan Nabalu News

Datuk Ewon Benedick

4 Mei 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Sambutan Pesta Kaamatan dan Hari Raya Puasa tahun ini harus menjadi pencetus kepada semua pihak terutamanya kerajaan untuk bermuhasabah atau menilai kepimpinan sendiri, kata Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Kadamaian Datuk Ewon Benedick.


Beliau berkata, ia bagi membolehkan kerajaan melakukan yang lebih baik untuk menangani pelbagai masalah rakyat terutamanya pandemik Covid-19.


“Bagi saya, kedua-dua perayaan ini harus menjadi sebab kepada pemerintah untuk bermuhasabah diri, membuat yang lebih baik, mencetus prestasi baharu dengan norma kepimpinan baharu.


“Ini kerana pandemik Covid-19 sudah satu tahun lebih melanda dunia. Di Malaysia, pemerintah masih tercari-cari formula berkesan menangani pelbagai rantaian masalah dan kesan ke atas satu-satu inisiatif (termasuk SOP) yang diperkenalkan kerana jumlah kes masih meningkat sehingga kini,” katanya.


Ewon yang juga Naib Presiden Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) berkata, kerajaan telah memperkenalkan Ordinan Darurat untuk menangani pandemik Covid-19 namun ia seolah-olah tidak berjaya.


“Tiada semak dan imbang kepada urustadbir kerajaan khusunya perolehan dan perbelanjaan melalui Ordinan Darurat. Ini kerana melalui ordinan itu, rakyat boleh dihukum biarpun sekadar meluahkan rasa dukacita ke atas prestasi pemerintah,” katanya.


Dari segi ekonomi, Ewon berkata, ekonomi rakyat terus merundum, pelaburan asing berkurangan, pembangunan modal insan terganggu, pembangunan luar bandar tertangguh dan hutang kerajaan semakin bertambah sepanjang ordinan Darurat berkuatkuasa.


“Saya berpendapat, tanpa perlunya Ordinan Darurat, pandemik Covid-19 masih boleh ditangani dengan berkesan kerana perundangan sedia ada sudah memadai jika ianya berkait dengan penguatkuasaan peraturan.


“Ahli-Ahli Dewan Rakyat bukan parti pemerintah sudah tentu menyokong usaha yang baik diangkat di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri jika benar ianya untuk menangani pandemik Covid-19,” katanya.


Ewon berkata, sepanjang Ordinan Darurat berkuatkuasa, penguatkuasaan SOP terserlah pincang.


“Kita melihat pendedahan mantan Ketua Polis Negara baru-baru ini berkenaan kepimpinan anggota pemerintah yang ada sekarang. Apakah ini norma baharu pemerintahan yang boleh dibanggakan oleh rakyat?


“Malah ada anggota pemerintah berkunjung ke luar negara kononnya atas tujuan rasmi, tetapi sekadar berurusan secara maya bila berada di negara tersebut.


“Rakyat pula terhalang melawat keluarga, balik kampung. Aktiviti harian rakyat terikat dengan birokrasi dan SOP. Tapi acara politik pemerintah senang-senang sahaja berlangsung,” katanya.


Selain itu katanya, pengamal media dan pendukung demokrasi juga turut dipanggil untuk siasatan apabila mengutarakan pandangan. “Tapi anggota pemerintah acapkali bercanggah kenyataan sesama sendiri, rakyat pula yang menjadi mangsa”.


Dari segi Hak Sabah berkaitan 40 peratus pungutan hasil persekutuan di Sabah yang perlu diberikan semula kepada negeri ini sememangnya sudah dalam perlembagaan yang ada sekarang.


“Kenapa tidak laksana sahaja? Portfolio Sabah dan Sarawak dalam pemerintah, mulanya sasar tunaikan dalam enam bulan.


“Jadi apa "tuaian" kita dalam tempoh satu tahun ini? Kita merayakan Tadau Kaamatan tanpa sempadan (borderless) itu sangat murni, tetapi merayakan Tadau Kaamatan tanpa tuaian itu, perlu menjadi muhasabah buat kerajaan,” katanya.


Mengenai kedudukannya sebagai Adun Pembangkang, Ewon berkata, beliau akan kekal dalam parti itu dan akan terus berkhidmat untuk rakyat Kadamaian.


“Khusus buat warga Kadamaian. Saya sudah katakan, saya akan kekal di mana saya berada sekarang dan terus berkhidmat melaksanakan amanah ini sebaiknya walaupun kapasiti sudah berlainan.


“Pihak kerajaan boleh melaksanakan tanggungjawab kepada warga Kadamaian dengan menurunkan banyak kemudahan seperti tempoh dua tahun saya berada di dalam Kerajaan.


“Tambat hati rakyat Kadamaian, bukan tambat saya. Warga Kadamaian, pastikan anda mendapat tuaian daripada kerajaan hari ini,” katanya.

Comentarios


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page