SAMBUTAN KAAMATAN RAYA - PEMERINTAH PERLU MUHASABAH, RAKYAT PERLU BANGKIT
top of page
  • nabalunews

SAMBUTAN KAAMATAN RAYA - PEMERINTAH PERLU MUHASABAH, RAKYAT PERLU BANGKIT



Datuk Ewon Benedick

3 Mei 2021 1. Seperti lazimnya, kita mahu menyampaikan ucapan sempena perayaan dengan menyelitkan mesej-mesej kepada umum, khusunya pembaca ucapan kita. 2. Tahun ini, kita merayakan Tadau Kaamatan dan Hari Raya Puasa dalam bulan yang sama, bulan Lima ini. 3. Kita sedang berhadapan dengan pandemik Covid 19 sejak lebih satu tahun yang lalu, yang menghantui seluruh dunia, dan mencetuskan norma baharu kita hidup dalam komuniti besar, termasuk bagaimana merayakan sambutan kebudayaan dan keagamaan. 4. Kita tetap mahu merayakan kedua-dua sambutan ini, Tadau Kaamatan dan Hari Raya Puasa kerana warisan kebudayaan perlu dikekalkan dan ibadah agama juga perlu disyukuri. Perintah SOP menyebabkan kedua-dua perayaan disambut tidak semeriah dahulu, dan dalam situasi penuh was-was berikutan kemungkinan dendaan kompaun. 5. Tetapi selain daripada pengekalan warisan kebudayaan dan kesyukuran ibadah agama, apakah sebab lain lagi yang boleh kita justifikasikan untuk menyambut perayaan-perayaan ini? Sambutan Tadau Kaamatan misalnya, apakah tuaian (dan kejayaan) kita sejak satu tahun lepas yang boleh kita banggakan sebagai sebab untuk kita adakan kesyukuran tuaian pada tahun ini? 6. Bagi saya, kedua-dua perayaan ini harus menjadi sebab kepada pemerintah untuk bermuhasabah diri, membuat yang lebih baik, mencetus prestasi baharu dengan norma kepimpinan baharu. 7. Pandemik Covid-19 sudah satu tahun lebih melanda dunia. Di Malaysia, pemerintah masih tercari-cari formula berkesan menangani pelbagai rantaian masalah dan kesan ke atas satu-satu inisiatif (termasuk SOP) yang diperkenalkan kerana jumlah kes yang masih meningkat sehingga kini. 8. Ordinan Darurat diperkenalkan kononnya bagi menangani dengan lebih berkesan pandemik ini, tetapi ia gagal. Hanya ia menyerlahkan banyak pekung pemerintah. 9. Melalui Ordinan Darurat, dendaan kompaun maksimum dikenakan kepada rakyat. Melalui Ordinan Darurat juga, tidak ada semak dan imbang kepada urustadbir pemerintah khusunya perolehan dan perbelanjaan. Melalui Ordinan Darurat rakyat boleh dihukum biarpun sekadar meluahkan rasa dukacita ke atas prestasi pemerintah. 10. Ekonomi rakyat terus merudum. Pelaburan asing berkurangan. Hutang pemerintah semakin bertambah. Pembangunan modal insan terganggu. Pembangunan luar bandar tertangguh. Kartel itu dan ini terus didedahkan. Semuanya terlihat sepanjang Ordinan Darurat ini berkuatkuasa. 11. Sedangkan tanpa perlunya Ordinan Darurat, pandemik Covid-19 masih boleh ditangani dengan berkesan kerana perundangan sedia ada sudah memadai jika ianya berkait dengan penguatkuasaan peraturan. Ahli-Ahli Dewan Rakyat bukan parti pemerintah sudah tentu menyokong usaha yang baik diangkat di Parlimen dan Dewan Undangan Negeri jika benar ianya untuk tangani pandemik Covid-19. 12. Sepanjang berkuatkuasanya Ordinan Darurat ini juga, penguatkuasaan SOP terserlah pincang. Rakyat ditekan semaksimumnya, anggota pemerintah dibebas sebebasnya. 13. Dan kita melihat pendedahan mantan Ketua Polis Negara baru-baru ini berkenaan kepimpinan anggota pemerintah yang ada sekarang ini. Apakah ini norma baharu pemerintahan yang boleh dibanggakan oleh rakyat? 14. Malah ada anggota pemerintah berkunjung ke luar negara kononnya atas tujuan rasmi, tetapi sekadar berurusan secara maya bila berada di negara tersebut. Malah sekadar memapar gambar-gambar mencuci lantai yang tidak terkait dengan urusan rasmi. 15. Rakyat terhalang melawat keluarga, balik kampung. Aktiviti kelaziman harian rakyat terikat dengan birokrasi dan SOP. Tapi acara politik pemerintah di sana sini senang-senang sahaja berlangsung. 16. Pengamal media dan pendukung demokrasi dipanggil untuk siasatan bila mengutarakan pandangan. Tapi anggota pemerintah pula acapkali bercanggah kenyataan sesama sendiri, rakyat pula yang menjadi mangsa. 17. Ketua pemerintah pula menyatakan hak Sabah dan Sarawak boleh dilaksanakan tetapi kena ubah perlembagaan dan perlukan mandat dua pertiga dalam pilihanraya akan datang. Tetapi Sabah dan Sarawak banyak hak dalam perlembagaan sedia ada, tanpa perlu pindaaan. Kenapa tidak perak otak untuk laksanakan sahaja. 18. Hak Sabah berkaitan 40 peratus pungutan hasil persekutuan di Sabah perlu diberikan semula kepada Sabah sememangnya sudah dalam perlembagaan yang ada sekarang. Kenapa tidak laksana sahaja? Portfolio Sabah dan Sarawak dalam pemerintah, mulanya sasar tunaikan dalam enam bulan, rupanya tempoh enam bulan itu hanya untuk menguruskan mesyuart pertama sahaja. 19. Jadi apa "tuaian" kita dalam tempoh satu tahun ini? Kita merayakan Tadau Kaamatan tanpa sempadan (borderless) itu sangat murni, tetapi merayakan Tadau Kaamatan tanpa tuaian itu perlu menjadi muhasabah buat pemerintah. 20. Dan rakyat perlu bangkit. Jika anda penyokong pemerintah, bangkit dan bangunkan mereka supaya mereka berfikir dan bekerja berlipat kali ganda agar banyak tanaman untuk dituai. Jika anda penyokong pemerintah alternatif, bangkit dan sedia untuk bekerja berlipat kali ganda menanam tanaman baharu. 21. Khusus buat warga Kadamaian. Saya sudah katakan, saya akan kekal di mana saya berada sekarang. Dan saya akan terus berkhidmat dan melaksanakan amanah ini sebaiknya walaupun kapasiti sudah berlainan. Mari mencetus norma baharu kepimpinan di Kadamaian. 22. Pemerintah boleh melaksanakan tanggungjawab kepada warga Kadamaian dengan menurunkan banyak kemudahan seperti tempoh dua tahun saya berada di dalam Kerajaan. Tambat hati rakyat Kadamaian, bukan tambat saya. Warga Kadamaian, pastikan anda mendapat tuaian daripada pemerintah hari ini. 23. Dalam rasa keinsafan, saya ucapkan Kotobian Tadau Kaamatan sekarang dan Selamat Hari Raya Puasa yang menjelang tiba kelak buat semua. Maaf di atas kesilapan, terima kasih atas sokongan, kita sama-sama renungi sambutan perayaan ini kali ini, mara ke hari esok dengan lebih iltizam bersama sebagai satu komuniti. Ewon Benedick ADUN Kadamaian Naib Presiden UPKO

bottom of page