top of page

SAR-HAT: Pasukan khas penyelamat aras tinggi dilancarkan

Wartawan Nabalu News

7 Jun 2023

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Pasukan Penyelamat Aras Tinggi Gunung Kinabalu (SAR-HAT) yang terdiri daripada 30 anggota dari tiga agensi berbeza telah dilancarkan secara rasmi oleh Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Sabah, Datuk Christina Liew di Ranau baru-baru ini.


Jelas Christina, pasukan ini merupakan “First Responder” apabila berlakunya sesuatu kemalangan di Gunung Kinabalu dan dibantu oleh Polis Diraja Malaysia (PDRM), Pasukan Gerakan Udara (PGU) dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM).


Selain itu, penubuhan pasukan ini bukan sahaja bagi memperkukuhkan penyelamatan pendakian tetapi sebagai langkah persediaan bagi pembukaan pendakian aras tinggi Gunung Kinabalu termasuk Latihan Simulasi Penyelamatan Aras Tinggi.


Christina berkata, pasukan ini merupakan produk ikonik yang pertama diwujudkan di Malaysia dan sejajar dengan gagasan Sabah Maju Jaya.


“Kita sebagai rakyat Sabah, amat bertuah mempunyai Gunung Kinabalu yang tertinggi di Malaysia atau di rantau Asia Tenggara (4,095 m) yang menjadikan Gunung Kinabalu sebagai tempat pembiasaan atau latihan kepada pendaki-pendaki sebelum mendaki Gunung Everest,” katanya.


Beliau juga menyampaikan penghargaannya kepada pengurusan Taman-Taman Sabah (TTS), penjaga Gunung Kinabalu, atas usaha proaktif mereka dalam menubuhkan SAR-HAT.


Pasukan ini terdiri daripada 20 anggota dari Pasukan Penyelamat TTS, enam anggota dari Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (MOSAR) dan empat malim gunung.


Christina juga menggesa SAR-HAT untuk bekerjasama dengan komuniti setempat dalam melatih penduduk kampung dengan kepakaran dan pengetahuan yang diperlukan untuk menjadi pemandu sungai. Katanya, ini akan memberdayakan komuniti setempat dan meningkatkan pelancongan luar bandar di kawasan sungai.


Dalam pada itu, Christina berkata, pengwujudan Pusat Latihan Pendakian Aras Tinggi Gunung Kinabalu atau High Altitude Training Centre (HAT) merupakan salah satu hala tuju di bawah gagasan Sabah Maju Jaya.


“Bagi pihak Kementerian, pengwujudan pusat latihan ini merupakan “produk ikonik” yang pertama diwujudkan di Malaysia.


“Saya percaya dan penuh yakin, pembukaan secara berfasa Pusat Latihan Pendakian Aras Tinggi Gunung Kinabalu akan mendapat sambutan dan dapat memberikan alternatif serta kepuasan kepada pendaki-pendaki gunung di seluruh dunia,” kata beliau.

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page