top of page

SARA: Kerajaan siasat aduan peniaga naik harga barang

  • nabalunews
  • 3 hours ago
  • 1 min read

ree

8 September 2025


PUTRAJAYA: Kerajaan akan menyiasat aduan yang mendakwa terdapat segelintir peniaga menaikkan harga barangan semasa pelaksanaan inisiatif Penghargaan Sumbangan Asas Rahmah (SARA).


Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, pihaknya mengambil maklum mengenai hantaran media sosial berhubung dakwaan tersebut dan sekiranya didapati berlaku, siasatan boleh dijalankan di bawah Akta Kawalan Harga dan Antipencatutan 2011.


Katanya, kerajaan melalui Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) tidak akan berkompromi terhadap mana-mana pihak yang cuba menjejaskan manfaat yang sepatutnya dinikmati rakyat.


"Kerajaan MADANI akan menyiasat aduan yang diterima. Dalam masa yang sama, kerajaan menghargai inisiatif pasar raya dan kedai runcit yang menawarkan harga istimewa kepada penerima manfaat," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Kewangan.


Sehubungan itu katanya, orang ramai digalakkan untuk membuat aduan kepada KPDN bagi membolehkan siasatan segera dijalankan.


Aduan boleh disalurkan melalui bebrapa saluran rasmi KPDN, antaranya portal e-Aduan di https://eaduan.kpdn.gov.my/, talian WhatsApp di 019-848 8000, atau pusat panggilan di 1-800-886-800.


Menurut kementerian itu, hari kelapan pelaksanaan Penghargaan SARA berjalan lancar dengan jumlah jualan sebanyak RM102.5 juta membabitkan 1.7 juta penerima setakat jam 9.30 malam tadi.


“Kadar transaksi berjaya kekal stabil pada 99.9% bagi dua hari berturut-turut. Usaha penambahbaikan dan peluasan kapasiti pemprosesan sistem sepanjang tujuh hari lalu, telah menyumbang kepada kestabilan sistem yang tercapai pada hari ini,” katanya.


Sejak dilaksanakan pada 31 Ogos, inisiatif berkenaan telah dimanfaatkan lebih 11.8 juta rakyat yang membeli barangan keperluan asas menggunakan kredit Penghargaan SARA dan SARA bulanan, dengan jumlah perbelanjaan mencecah RM745.7 juta di seluruh negara.

 
 
 
photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page