top of page

Sarawak-Sabah kongsi pengalaman luar bandar di Kampung Tambatuon

  • nabalunews
  • 2 hours ago
  • 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns


11 April 2026


KOTA BELUD: Rombongan pegawai kanan dari Sarawak dan Sabah telah mengadakan lawatan bersama ke Kampung Tambatuon, Kota Belud, petang semalam, di Mini Dewan Kampung Tambatuon Kota Belud bagi memperkukuh hubungan antara wilayah serta berkongsi pengalaman pembangunan luar bandar.


Rombongan Sarawak diketuai oleh Residen Bahagian Kuching, Dayang Hajah Joanita Azizah Abang Haji Marshidi. Turut bersama ialah Timbalan Setiausaha Tetap Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Neldin Gibang, Pegawai Daerah Kuching, Zaidi Sarkawi, Pegawai Daerah Lundu, Zulkarnain Ismail, serta Setiausaha Rendah Kementerian Pembangunan Luar Bandar, Norhayati Aliju.


Pihak Sabah diwakili oleh Pegawai Daerah Kota Belud, Peter Jitun, Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri III, Carlye Lajamin, serta Pemimpin Pembangunan Masyarakat (PPM) Kadamaian, Ukoh @ Jeremy Malajad. Turut mengiringi ialah Ketua Kampung Tambatuon, Kosmin Sulikan, dan Pengerusi Kampung Tambatuon, Dimis Kinsuron.


Dalam ucapan alu-aluannya, Peter, menjelaskan bahawa Kota Belud dikenali sebagai "Cowboy Town" atau "Pekan Koboi Timur" berdasarkan kehebatan penduduknya, terutamanya masyarakat Bajau, dalam kemahiran menunggang kuda.


Beliau memerihalkan geografi, ekonomi serta sosio-budaya seperti bidang pertanian, perikanan, pelancongan serta keusahawanan mikro danxsebagainya di daerah itu yang merangkumi empat kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) iaitu Pintasan, Tampasuk, Usukan dan Kadamaian.


Beliau turut memberi penerangan mengenai tugasan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) serta peranan Ketua Kampung dalam pengurusan komuniti.


Majlis simbolik penyerahan cenderahati Beras Wangi Keladi Organik – produk tempatan Kampung Tambatuon – disampaikan oleh Ketua Kampung dan Pengerusi JKKK Kampung Tambatuon kepada rombongan Sarawak sebagai tanda penghargaan dan promosi hasil komuniti. Program diakhiri dengan jamuan ringan serta sesi bergambar bersama semua yang hadir.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page