Sarawak tolak cadangan buat Perjanjian Malaysia baharu
top of page
  • Farah Salim

Sarawak tolak cadangan buat Perjanjian Malaysia baharu



5 Julai 2022

Oleh Farah Salim


KUCHING: Menteri dari Sarawak menolak cadangan untuk membuat Perjanjian Malaysia Baharu kerana Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) adalah dokumen asas yang membawa kepada pembentukan sebuah negara (Malaysia).


Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Sarawak, Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah menegaskan bahawa tiada siapa boleh mengubah perjanjian asas yang membawa kepada pembentukan Malaysia.


Beliau berkata, cadangan Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan kepada kepimpinan BN Sabah supaya mengusulkan Perjanjian Malaysia Baharu sebagai jalan ke hadapan yang lebih konkrit ke arah merealisasikan hak dan tuntutan negeri itu dalam MA63 adalah idea yang tidak masuk akal.


“Perjanjian Malaysia 1963 tidak boleh diubah oleh mana-mana pemimpin politik untuk kepentingan politik mereka kerana ia adalah dokumen asas yang membawa kepada pembentukan sebuah negara (Malaysia).


“Hanya kerana BN berkuasa di Sabah sekarang tidak bermakna ia boleh menentukan dan menukar dokumen itu secara unilateral,” katanya.


Abdul Karim yang juga Naib Presiden Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB),  berkata terdapat perkara penting yang terkandung di bawah perjanjian itu dan pemimpin hari ini perlu menyemak sama ada perkara ini telah dipatuhi atau terpesong.


“Ianya bukan seperti perjanjian penyewaan yang boleh diubah selepas beberapa tahun tertentu. Anda tidak boleh hanya memotong dan menukar mengikut keinginan atau kepentingan politik,” katanya.


Beliau menegaskan bahawa pada permulaan MA63, lima negara terlibat iaitu Persekutuan Tanah Melayu, Sabah, Sarawak, Singapura, dan Brunei dan kini tiga wilayah – Semenanjung Malaysia, Sabah dan Sarawak.


“Apa yang telah ditulis dan dipersetujui sebelum ini, itu sangat penting. Anda tidak boleh mengubahnya dan mengatakan, separuh jalan anda mahukan MA63 baharu,” tegas beliau.

bottom of page