Marryan Razan
Saringan bergejala, kontak rapat sumbang peningkatan kes hari ini di Sabah

5 Oktober 2021
Oleh Marryan Razan
KOTA KINABALU: Peningkatan saringan ke atas mereka yang bergejala dan kontak rapat membawa penambahan kes-kes baharu di banyak daerah hari ini.
Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Datuk Masidi Manjun berkata, jumlah keseluruhan bagi Sabah melonjak kepada 805 kes setelah menurun beberapa hari sebelum ini.
Bagaimanapun katanya, tidak ada daerah yang mencatatkan tiga angka.
“Pada hari ini sebanyak 11 kes kematian dilaporkan iaitu dua kes di Lahad Datu dan Kuala Penyu.
“Manakala Keningau, Tuaran, Sandakan, Nabawan, Ranau, Papar dan Kudat masing-masing mencatatkan satu kes kematian,” katanya dalam kenyataan media hari ini.
Masidi berkata, jumlah kes positif baharu Covid-19 hari ini sebanyak 805 kes iaitu meningkat 128 kes berbanding kelmarin.
Beliau berkata, peningkatan ini selari dengan jumlah daerah yang mencatatkan peningkatan kes iaitu sebanyak 18 daerah, dengan hanya lapan daerah mencatatkan penurun dan satu daerah iaitu Kudat kekal dengan catatan sebagaimana semalam.
“Ranau pula mencatatkan jumlah kes tertinggi pada hari ini iaitu sebanyak 87 kes dengan peningkatan 46 kes.
“Daerah lain yang mencatatkan peningkatan kes dengan ketara ialah Kota Marudu (+42) kes, Lahad Datu (+37) kes, Pitas (+34) kes, Tambunan (+27) kes, Beaufort (+26) kes, Putatan (+19) kes, Kota Belud (+14) kes, Sandakan (+12) kes, Kunak (+11) kes dan Sipitang (+10) kes,” katanya.
Masidi berkata, status dan statistik pendaftaran kes-kes yang diumumkan hari ini menunjukkan cuma (611) kes daripada (805) kes atau 75.90 peratus adalah kes yang berlaku sepanjang 24 yang lalu.
“Daripada jumlah keseluruhan kes hari ini, 90.81 peratus adalah pesakit dalam Kategori 1 dan Kategori 2 yang lazimnya hanya memerlukan rawatan kendiri di rumah sahaja atau di PKRC.
Beliau berkata, bilangan pesakit Covid-19 sembuh ialah 1,228 (termasuk yang discaj dari
hospital/PKRC) menjadikan jumlah kumulatif 186,822 orang.
“Manakala 2,637 pesakit sedang menerima rawatan iaitu 1,104 orang di hospital, 1,512 orang di Pusat Kuarantin dan Rawatan Berisiko Rendah (PKRC) Awam, 14 orang di Pusat Tahanan Sementara (PTS) / Penjara," katanya.