top of page

Saringan Kanser Percuma Sempena Hari Kanser Sedunia 2026 Di Kota Belud

  • nabalunews
  • 25 minutes ago
  • 2 min read

8 Februari 2026


KOTA BELUD: Seiring komitmen Kerajaan Negeri Sabah dalam agenda penjagaan kesihatan rakyat, Persatuan Pencegah Kanser Sabah (PPKS) telah menganjurkan Program Sambutan Hari Kanser Sedunia 2026 di Dewan Komuniti Kampung Piasau, semalam.


Program sehari itu dirasmikan oleh Carlye Lajimin, Setiausaha Politik kepada Timbalan Ketua Menteri III merangkap Menteri Perindustrian, Keusahawanan dan Pengangkutan, Datuk Ewon Benedick. Kehadiran beliau mewakili kepimpinan negeri menandakan sokongan padu terhadap usaha pencegahan dan kesedaran kanser di peringkat akar umbi.


Dalam ucapannya, Carlye menekankan kepentingan amalan hidup sihat dan keprihatinan untuk menjalani saringan kesihatan secara berkala.

"Pencegahan dan pengesanan awal adalah senjata terbaik kita dalam memerangi kanser. Inisiatif seperti hari ini, yang membawa perkhidmatan saringan terus ke komuniti, adalah selaras dengan aspirasi Kerajaan Negeri untuk membina Sabah yang sihat dan sejahtera," tegasnya.


Program tersebut menawarkan pelbagai perkhidmatan saringan kesihatan percuma kepada penduduk setempat, termasuklah,

Pemeriksaan Kolesterol, Tekanan Darah dan Gula.


Pemeriksaan kandungan Karbon Monoksida (CO) dalam paru-paru menggunakan alat Smokerlyzer, Saringan Kanser Mulut dan iBreast Scan, Saringan Serviks dan khidmat nasihat Urutan Mama Care oleh kakitangan Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) serta Program Derma Darah anjuran Hospital Kota Belud.

Selain itu, turut diadakan Pameran Kesihatan yang mempamerkan maklumat mengenai Talasemia, khidmat nasihat ahli farmasi, serta kaunter pendaftaran Subsidi Mamogram Kerajaan Negeri untuk golongan sasar.


Sesi ceramah kesihatan yang informatif disampaikan oleh Dr. Rizin Kusop, Penceramah Tetap PPKS yang juga Timbalan Presiden Persatuan Perubatan Swasta Sabah. Ceramah diikuti sesi soal jawab interaktif itu membincangkan jenis-jenis kanser, faktor risiko, langkah pencegahan dan kepentingan pengesanan awal.


Kejayaan program ini turut disokong oleh kehadiran para pegawai kanan kerajaan negeri dan tempatan, menunjukkan kerjasama erat antara agensi kerajaan dan pertubuhan bukan kerajaan (NGO). Antara yang hadir ialah Pegawai Daerah Kota Belud, Peter Jitun, Pengarah Hospital Kota Belud, Pegawai Kesihatan Pergigian Kawasan Kota Belud serta Pegawai Eksekutif Majlis Daerah Kota Belud.


Bagi mendidik generasi muda, satu Pertandingan Mewarna untuk kanak-kanak turut diadakan.


Program ini diharap dapat menyuntik kesedaran yang lebih mendalam dalam kalangan masyarakat Kota Belud tentang ancaman kanser dan menggalakkan mereka mengambil langkah proaktif dalam penjagaan kesihatan diri serta keluarga.

 
 
 

Comments


photo6052951033375730345_edited.jpg

ABOUT US

Nabalu News is an online news portal that will bring you all the latest news and stories from Malaysia, particularly Sabah.

  • Facebook
  • Twitter
  • Instagram

© NabaluNews.com

bottom of page