Satu kes penyakit Melioidosis telah dikesan di Padang Ragbi, Tanjung Aru
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Satu kes penyakit Melioidosis telah dikesan di Padang Ragbi, Tanjung Aru

16 April 2024

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) telah mengesahkan satu kes penyakit berjangkit melioidosis di Padang Ragbi, Tanjung Aru.


Menurut kenyataan JKNS, kes tersebut, dinotifikasikan pada 11 Mac 2024, dan sampel tanah telah diambil di lokaliti berkenaan berdasarkan pergerakan kes yang pernah bermain ragbi di padang ragbi tersebut.


Hasilnya, satu sampel ditemui positif dengan bakteria Burkholderia pseudomallei, agen penyebab penyakit melioidosis.


Pesakit telah memberikan sejarah mengalami luka di bahagian kaki semasa bermain ragbi yang mungkin menyebabkan jangkitan kepada beliau.


Sehingga Minggu Epidemiologi ke-14 tahun 2024, terdapat peningkatan sebanyak 12.8 peratus dalam kes melioidosis di negeri Sabah, dengan jumlah kes terkini sebanyak 44 berbanding 39 kes pada tahun sebelumnya.


Kawasan yang paling terjejas termasuk Sandakan dengan 12 kes, diikuti oleh Kota Kinabalu (11), Papar (5), Penampang (5), dan dua kes masing-masing di Sipitang serta Keningau.


Penyakit melioidosis, yang disebabkan oleh bakteria yang terdapat di permukaan air dan tanah, boleh menjangkiti manusia melalui pendedahan langsung kepada sumber yang tercemar.


JKNS menekankan bahawa penyakit ini boleh dirawat dengan antibiotik tertentu dan menggesa rawatan awal bagi mengelakkan komplikasi serius, terutamanya dalam kalangan individu dengan risiko tinggi seperti pesakit kencing manis, penyakit hati, dan sakit buah pinggang.


JKNS turut menasihatkan orang ramai untuk mengambil langkah berjaga-jaga seperti penggunaan kasut kalis air, sarung tangan, dan pelitup muka ketika berada di kawasan yang berpotensi tercemar. Beliau juga menyeru mereka yang mengalami gejala selepas pendedahan kepada tanah atau air tercemar untuk segera mendapatkan rawatan.


JKNS komited untuk terus memantau situasi dan meningkatkan kesedaran mengenai langkah-langkah kawalan dan pencegahan penyakit melioidosis.

bottom of page