"Saya Serah Jawatan, Bukan Serah Perjuangan" - Rayner Ebi
- nabalunews
- 42 minutes ago
- 1 min read

Oleh : Romie Stanley DGuns
TUARAN, 5 Julai – Ketua Pemuda UPKO Bahagian Tuaran, Rayner Ebi, mengumumkan hari ini bahawa beliau tidak akan bertanding untuk mempertahankan jawatannya bagi sesi 2026-2029, sekali gus memberi laluan kepada kepimpinan baharu dalam parti itu.
Keputusan itu diumumkannya ketika berucap pada Mesyuarat Agung Tritahunan UPKO Tuaran 2026, di sini, hari ini.
Rayner berkata, langkah itu dibuat atas keyakinannya bahawa sebuah parti yang kuat memerlukan ruang untuk pelapis tampil memimpin, bukan kerana keletihan atau hilang kepercayaan terhadap perjuangan UPKO.
"Kita tidak boleh hanya bercakap tentang melahirkan pemimpin muda jika kita sendiri tidak bersedia memberi peluang kepada mereka. Hari ini saya menyerahkan baton ini dengan penuh rasa syukur dan keyakinan," katanya.
Beliau turut mengingatkan barisan kepimpinan baharu agar memelihara perpaduan, mendekati rakyat, menghormati pemimpin terdahulu, dan tidak menjual prinsip demi kepentingan sementara.
Sepanjang tempoh lapan tahun lalu, Rayner menelusuri pelbagai cabaran politik termasuk kejatuhan kerajaan Persekutuan pada 2018, menjadi pembangkang di Sabah pada 2020, serta pengorbanan UPKO mempertahankan tuntutan hak Sabah di bawah Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan tuntutan 40 peratus hasil bersih Persekutuan, yang menyebabkan parti kehilangan kedudukan dalam Kerajaan Persekutuan pada November 2025.
Meskipun melepaskan jawatan, Rayner menegaskan beliau kekal sebagai ahli UPKO dan akan terus menyumbang kepada perjuangan parti selagi diberi kesempatan.
"Saya menyerahkan jawatan Ketua Pemuda, namun saya tidak akan sesekali menyerahkan perjuangan," katanya.
Turut hadir dalam mesyuarat agung itu ialah Presiden Kehormat UPKO merangkap Ketua Bahagian UPKO Tuaran, Datuk Seri Panglima Wilfred Madius Tangau, Ketua Pemuda Pusat, Felix Joseph Saang, serta barisan exco pemuda, wanita parti serta kesemua pemantau yang hadir.















Comments