top of page
Wartawan Nabalu News

Saya tidak akan melayan cubaan gugat Kerajaan Perpaduan – Agong

26 Februari 2024

Okeh Wartawan Nabalu News


KUALA LUMPUR: Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim menegaskan bahawa, baginda tidak akan melayan sebarang permintaan mana-mana pihak yang cuba menganggu-gugat kestabilan politik negara.


Baginda bertitah, semua pihak mesti menerima kenyataan dan menghormati Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk.


“Ingin juga saya tegaskan di sini yang saya tidak akan melayan sebarang permintaan dari mana-mana pihak yang cuba mengganggu-gugat kestabilan politik negara.


“Semua pihak mestilah menerima kenyataan dan menghormati Kerajaan Perpaduan yang telah dibentuk.


“Jika ada yang hendak bermain politik, tunggulah masa pilihan raya yang akan datang,” titah Baginda semasa merasmikan Istiadat Pembukaan Mesyuarat Pertama Penggal Ketiga Parlimen ke-15, hari ini.


Sultan Ibrahim bertitah, Parlimen adalah tempat para penggubal undang-undang berhimpun untuk membuat peraturan dan Ahli-Ahli Dewan adalah penggubalnya.


“Oleh itu, adalah tidak masuk akal jika penggubal undang-undang itu sendiri gagal untuk mematuhi peraturan yang dibuat.


“Saya harap semua Ahli-ahli Dewan akan tunjukkan contoh teladan yang baik apabila berada di Dewan yang mulia ini dengan mematuhi peraturan sepanjang tempoh persidangan,” titah baginda.


Seri Paduka Baginda turut merakamkan ucapan tahniah kepada Perdana Menteri dan barisan Anggota Pentadbiran Kerajaan yang telah menguruskan negara dengan sempurna dan tadbir urus yang baik.


“Pesanan saya, sentiasa hayati denyut nadi rakyat kerana menjadi tanggungjawab kerajaan untuk membela nasib mereka.


“Pemerintahan saya sebagai Yang di-Pertuan Agong adalah sama seperti Yang di-Pertuan Agong terdahulu mengikut Perlembagaan Persekutuan, dasar dan peraturan yang ditetapkan.


“Kedudukan saya di sini adalah bagi menjalankan tanggungjawab dan memikul amanah Raja-Raja Melayu untuk memastikan kedaulatan tanah air, kemakmuran negara dan kesejahteraan hidup rakyat akan sentiasa dipelihara,” titah baginda.


Sehubungan itu, Seri Paduka Baginda menyeru semua Ahli Dewan supaya bersatu hati, berganding bahu dan bekerjasama untuk membangunkan negara demi kepentingan seluruh rakyat Malaysia.


Titah baginda, kejayaan atau kegagalan negara ini bukan diletakkan di bahu Perdana Menteri sahaja, tetapi ia adalah tanggungjawab semua 222 Ahli Dewan Rakyat yang telah diamanahkan oleh rakyat sebagai wakil rakyat mereka dalam Kerajaan.


“Semua pihak sedia maklum keutamaan saya adalah keadaan hidup lebih 33 juta rakyat Malaysia di luar sana. Oleh itu, Saya berharap semua Ahli Dewan akan menumpukan usaha untuk membela nasib hidup seluruh rakyat,” titah baginda.

Comments


bottom of page