Saya tidak setuju NCA jika nafi hak Komuniti Anak Negeri - EwonSaya tidak setuju NCA jika nafi hak Komuniti Anak Negeri - Ewon
top of page
  • Wartawan Nabalu News

Saya tidak setuju NCA jika nafi hak Komuniti Anak Negeri - Ewon


6 Disember 2021

Oleh Wartawan Nabalu News


KOTA KINABALU: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kadamaian, Datuk Ewon Benedick menyatakan bantahan beliau ke atas Nature Conservation Agreement (NCA) jika ianya menafikan hak komuniti Anak Negeri ke atas akses dan pegangan kepada kawasan perkampungan dan kawasan ekonomi mereka.


“Saya menggesa agar NCA dan pengisian berkaitan perdagangan karbon dibuat secara transparen dan harus melibatkan semua pemegang taruh termasuklah badan bukan Kerajaan (NGO) dan komuniti Anak Negeri.


“Jika perjanjian ini menafikan hak komuniti Anak Negeri ke atas akses dan pegangan ke atas kawasan perkampungan dan kawasan ekonomi merek, maka saya ingin nyatakan bantahan awa saya dalam Dewan ini. Jika perjanjian ini lebih menguntungkan pihak luar berbanding keuntungan kepada Kerajaan dan rakyat, maka saya ingin menyatakan bantahan awal saya hari ini,” katanya.


Ewon menyatakan demikian semasa membahaskan Belanjawan Sabah 2022 di sidang DUN hari ini.


Menurut Ewon, perdagangan karbon melalui konservasi hutan boleh menjadi salah satu pendekatan baharu mencipta ‘revenue’ kepada Kerajaan Negeri tetapi banyak kekhuatiran telah disuarakan oleh rakyat terutama selepas tural surat daripada Pejabat Peguam Negeri.


“Perjanjian NCA tampak dibuat secara terburu-buru tanpa ‘due diligent’, lebih-lebih lagi tidak ada proses libat urus dengan semua pemegang taruh seperti badan-badan NGO dan komuniti Anak Negeri.


“Pada saya, salah satu matlamat Kerajaan adalah mengurangkan atau meniadakan konflik dengan komuniti. Kita semua tahu banyak komuniti Anak Negeri masih menuntut kawasan Tanah Adat mereka, kawasan perumahan dan kawasan aktiviti ekonomi mereka yang terperangkap dalam Hutan Simpan, Taman-Taman Sabah, kawasan konsesi balak dan agensi berkaitan Kerajaan.


“Kerajaan terdahulu dengan dasar pada masa itu telah berjaya mengeluarkan 104 kampung dari Hutan Simpan. Masih banyak lagi yang telah dirujuk kepada Kabinet namun tidak sempat dibawa ke Dewan ini selepas pembubaran,” katanya.


Beliau menambah bahawa Kerajaan juga boleh mewartakan Hutan Komuniti atau Tagal Hutan kepada komuniti-komuniti bersempadan Hutan Simpan dan Taman-Taman Sabah seperi di Kg Kiau dan Kg Bundu Tuhan sepertimana pewartaan Tagal Sungai di seluruh Sabah.


Ewon turut mencadangkan agar Kerajaan mengambil semula kawasan konsesi syarikat balak selepas tamat tempoh pajakan yang diberikan sekarang dan memberikan kawasan tersebut kepada komuniti Anak Negeri pada masa tersebut kelak yang pastinya memerlukan kawasan perkampungan baharu dan kawasan aktiviti ekonomi.

bottom of page